Dorai didakwa atas pertuduhan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang lelaki bergelar Datuk sehingga menyebabkan tangan kanannya patah, dua minggu lalu.

Tertuduh, M. Dorai Pandian, 46, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal.

Mengikut pertuduhan lelaki itu didakwa menyebabkan kecederaan parah ke atas R. Sritharan, 43, di medan selera Old Market, Jalan New Ferry, di sini, jam 4.25 petang pada 13 April lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh tidak mengaku salah dan dibenarkan ikat jamin RM5,000.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nurameera Shahrul Azrin menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, peguam M. Puven yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya merupakan pekerja kontrak selain penanggung tunggal keluarga yang perlu menyara dua anak serta isteri.

Aini Adilah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.

Mahkamah turut menetapkan 12 Jun ini untuk sebutan semula kes.

ARTIKEL BERKAITAN

3 lelaki direman pukul kontraktor bergelar Datuk hingga patah tangan

MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan menyerang seorang kontraktor sehingga mengakibatkan dia patah tangan kanan serta cedera di beberapa anggota badan.

Difahamkan, berlaku perselisihan faham antara mangsa dengan suspek utama pada satu majlis keraian yang berlangsung, di sini, pada Sabtu lalu.

Rentetan insiden tersebut, suspek bersama dua lagi rakannya bertindak menyerang mangsa dan impak kejadian tersebut menyebabkan mangsa patah tangan kanan selain luka di muka serta mulutnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here