KUALA LUMPUR – Beberapa perkara yang berlaku sepanjang pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025 peringkat Cabang yang berakhir hujung minggu lalu merisaukan banyak pihak.
Antaranya, kata Timbalan Ketua Penerangan Keadilan Pusat, Razeef Rakimin, jumlah undi melibatkan ketua cabang yang seolah-olah tertukar antara kumpulan berbeza.
Selain itu, tambah Ketua Penerangan Keadilan Sabah itu, terdapat keputusan yang sangat lewat sehingga mengambil masa sehari.
Turut merisaukan kekalahan beberapa nama besar berjawatan menteri, timbalan menteri, ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan orang-orang besar lain yang menambah kekhuatiran berlakunya manipulasi undi.
“Memang bagi sistem baharu akan ada kekurangan namun bagi sistem yang mempunyai sekuriti kukuh seperti Blockchain adalah mustahil untuk ditembusi.
“Maka amat mustahil berlaku manipulasi undi.
“Mungkin berlaku sedikit kesilapan dalam sistem yang pasti boleh diperbetulkan. Bagaimanapun, pihak JPP (Jawatankuasa Pemilihan Pusat) telah membuka ruang bantahan.
“Maka setiap anggota perlu membuat bantahan melalui saluran yang betul tanpa perlu mengambil tindakan yang mencalarkan nama parti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Razeef berkata, keputusan pemilihan cabang yang berakhir semalam juga masih belum dikira sah selagi tidak disahkan peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.
Jelasnya, JPP juga telah membuka ruang bantahan kepada semua calon jika ada permasalahan dengan bukti kukuh.
“Bagi saya masalah ini boleh diselesaikan peringkat dalaman tanpa perlu menghentam parti di media dan menuduh JPP terlibat manipulasi undi,” katanya.
Kepada pandangan seoalah-olah sistem pengundian diceroboh untuk menguburkan calon kem Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli, Razeef berpandangan, masih ramai ketua cabang yang dilihat pro-Rafizi menang pada pemilihan kali ini.
Dalam masa sama, ujar beliau, beberapa ketua cabang yang dikatakan pro kepada Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail juga ada yang tewas pada pemilihan kali ini.
“Perkara ini sekaligus menafikan ada unsur sabotaj cuba menjatuhkan kem Rafizi,” katanya.
Sementara itu, Razeef yang juga Ketua Cabang PKR Tuaran berharap mesyuarat MPP esok akan berlangsung dalam suasana harmoni dan sebarang permasalah melibatkan pemilihan PKR dapat diselesaikan.
“Soal pemilihan ini perlu diselesaikan segera memandangkan parti akan mengadakan Kongres Nasional Keadilan dan seterusnya kembali fokus kepada persediaan Pilihanraya Negeri Sabah yang dijangka berlangsung dalam dua hingga enam bulan lagi,” katanya. – MalaysiaGazette