Ibu bapa Zayn Rayyan Abdul, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf hadir bagi sambungan perbicaraan atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik itu di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 22 APRIL 2025

PETALING JAYA – Perkahwinan ibu bapa Zayn Rayyan di Narathiwat, Thailand sekitar Jun 2016 menjadi faktor utama kepada percanggahan nama bapa dalam dokumen rasmi kanak-kanak autistik itu, kata saksi ke-28 dalam perbicaraan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Asisten Superintendan Mohd Hafizee Ismail memaklumkan kepada mahkamah hasil siasatan mendapati pasangan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf telah berkahwin di Thailand.

Katanya, hasil siasatan mendapati pasangan itu telah mendaftarkan perkahwinan mereka lewat di Malaysia sekali gus menyumbang kepada ketidaksepadanan nama dalam rekod rasmi.

“Nama si mati dalam dokumen tidak konsisten. Dalam satu dokumen dia didaftarkan sebagai Zayn Rayyan bin Abu Matin manakala pada sijil kelahiran pula nama bapanya tertera sebagai Zaim Ikhwan bin Zahari.

”Siasatan kami mendapati perbezaan ini berpunca daripada pendaftaran perkahwinan yang dibuat lewat di Malaysia selepas mereka bernikah di Thailand,” katanya di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

Mohd Hafizee yang sebelum ini bertugas sebagai pegawai penyiasat kanan jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya turut mengesahkan Zayn merupakan kanak-kanak istimewa yang disahkan menghidap speech delay autism berdasarkan laporan perubatan daripada Hospital Selayang dan Hospital Sungai Buloh.

Difahamkan kanak-kanak malang itu sebelum itu pernah dirujuk ke beberapa hospital termasuk semasa tempoh pandemik Covid-19.

Dalam keterangan lanjut, Mohd Hafizee turut menyebut tentang Auni Afiqah Abas, pengasuh kepada Zayn dan adiknya yang menjaga mereka secara rutin.

Katanya, pada hari kejadian, 5 Disember 2023, Auni memaklumkan Zayn tidak dihantar seperti biasa ke rumahnya.

Lebih mengejutkan, Auni memberitahu, dia terdengar suara menyerupai Zayn Rayyan di antara Blok R dan Blok S berhampiran kediaman mangsa seolah-olah sedang meronta mahu melepaskan diri daripada seseorang.

“Saya bawa dia ke lokasi yang disebutkan tetapi dia tidak dapat pastikan dengan tepat dari mana suara itu datang,” jelas Faizal.

Beliau turut mengesahkan siasatan termasuk rakaman CCTV dari kawasan sekitar telah dijalankan sebagai sebahagian daripada usaha untuk mendapatkan gambaran penuh kejadian.

Pada 13 Jun lalu, Zaim Ikhwan dan Ismanira, masing-masing berusia 29 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas satu pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya pada 5 Disember 2023.

Pertuduhan jika sabit salah mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya.

Mayat Zayn Rayyan ditemukan dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai dekat sini selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here