KUALA LUMPUR – Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Siri 2/2025 akan bermula pada 11 Mei selama 45 hari sehingga 24 Jun 2025.
Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) berkata, program akan berlangsung di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah, Kuala Lumpur dan Kem Rejimen 505 Askar Wataniah Pekan, Pahang.
Katanya, dijangka seramai 550 orang pelatih akan terpilih pada siri kali ini.
“Dan sepanjang program tersebut pelatih akan diberikan pendedahan terhadap Latihan fizikal, mental dan sivik,” katanya menerusi kenyataan.
Menurut jabatan tersebut, panggilan kemasukan pelatih ke program tersebut telah dibuka bermula hari ini.
Status panggilan boleh disemak melalui laman sesawang rasmi https://jlkn.mod.gov.my/
Mengulas lanjut, jabatan itu berkata, modul-modul latihan berintegrasikan 70 peratus Latihan Asas Ketenteraan manakala selebihnya berdasarkan komponen kenegaraan.
“Bagi modul Latihan Asas Ketenteraan para pelatih akan dilengkapkan dengan kemahiran asas ketenteraan, dasar keselamatan negara, asas kesejahteraan hidup Malaysia Madani dan kemahiran kepimpinan.
“Manakala modul Komponen Kenegaraan akan mendedahkan pelatih dengan latihan tentang elemen jati diri, patriotisme dan memperkukuh perpaduan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette