KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini memulakan kohort ketiga Program Mentor Syariah (SMP) bertujuan untuk memupuk generasi profesional Syariah baharu dalam pasaran modal Islam (ICM).
Majlis tersebut juga meraikan 15 graduan kohort kedua SMP yang mencerminkan pencapaian titik penting dalam usaha SC untuk mengukuhkan pembangunan bakat Syariah dan tadbir urus ICM.
SMP, yang dibiayai oleh Dana Pembangunan Pasaran Modal (CMDF), telah diperkenalkan SC pada tahun 2023.
Inisiatif bimbingan itu dikendalikan oleh ISRA Consulting, yang dimiliki sepenuhnya oleh Universiti INCEIF.
Program ini menggabungkan pengetahuan praktikal, pendedahan industri, dan bimbingan oleh ahli Majlis Penasihat Syariah SC.
Setiap kohort melalui program selama lapan bulan yang merangkumi tiga bulan sesi kelas intensif, diikuti dengan lima bulan penempatan industri untuk mendapatkan pengalaman praktikal dalam nasihat Syariah dalam kewangan Islam.
Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, SMP salah satu inisiatif di bawah Pelan Induk Pasaran Modal 3, akan membantu memupuk saluran bakat syariah yang mampan dan membina kapasiti industri.
“Melalui pendekatan berstruktur, SMP juga berhasrat untuk menyokong objektif Maqasid al-Syariah yang lebih luas dengan memupuk nilai integriti, etika dan pertimbangan yang wajar.
“Ini adalah penting untuk peranan penasihat syariah dalam memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pasaran dan masyarakat. SC juga melihat keseluruhan ekosistem melangkaui profesional syariah untuk membangunkan generasi ulama syariah seterusnya dan skop kerja mereka, untuk mengukuhkan kepimpinan SC dalam bidang ini,” katanya.
Sehingga kini, SMP telah melahirkan 30 alumni dengan lebih 70% daripadanya kini berkhidmat di pelbagai institusi kewangan Islam.
Mereka dijangka akan didaftarkan sebagai penasihat syariah dengan SC dalam tempoh lima tahun akan datang. – MalaysiaGazette