Ibu bapa Zayn Rayyan Abdul, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf hadir bagi sambungan perbicaraan atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik itu di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 22 APRIL 2025

PETALING JAYA – Kesan darah dalam sebuah bilik di rumah Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin disahkan milik kanak-kanak autistik berkenaan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Saksi ke-28 pendakwaan, Asisten Superintendan Mohd Hafizee mengesahkan penemuan itu ketika disoal oleh Dr Syahliza Warnoh tentang siapakah sebenarnya pemilik darah dalam bilik berkenaan pada prosiding hari ini.

Kata Mohd Hafizee yang sebelum ini bertugas sebagai pegawai penyiasat kanan jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, pengesahan itu dibuat selepas pihaknya memperoleh keputusan Jabatan Kimia Malaysia apabila mendapati spesimen tulang sternum milik Zayn Rayyan berpadanan dengan DNA mangsa.

“Darah dalam bilik air itu milik tertuduh pertama (B1 Zaim Ikhwan) manakala dalam bilik pula si mati (Zayn Rayyan), ini berpadanan dengan laporan kimia.

“Keputusan laporan kimia ini dikeluarkan ahli kimia, Nor Aidora Saedon yang mana darah si mati berpadanan dengan spesimen tulang sternum mangsa,” katanya pada prosiding hari ini.

Semalam, Mohd Hafizee memaklumkan ketika pemeriksaan utama, ada kesan darah di bilik dan dalam bilik air rumah Zayn Rayyan ketika pasukan forensik melakukan proses luminol iaitu satu proses mendapatkan tindak balas kesan darah di rumah mangsa di Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai tahun lalu.

Mohd Hafizee dilaporkan berkata, DNA atau darah yang ditemui dalam bilik air itu adalah milik Zaim Ikhwan sebagaimana dalam laporan kimia.

Sebelum itu juga, dalam penyataan saksi sudah dinyatakan oleh Mohd Hafizee bahawa beliau telah mengarahkan pasukan forensik mengambil sampel tanah berhampiran lokasi si mati dijumpai untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi menganalisis tanah berkenaan.

Ini kerana ketika siasatan di rumah mangsa, saksi telah terlihat sepasang kasut hitam berlumpur dalam rumah itu yang diletakkan berhampiran peti sejuk.

Namun, kata Mohd Hafizee ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, keputusan sampel itu negatif kerana sumber tanah datang dari dua lokasi berbeza dan tidak sama.

Prosiding bersambung pagi esok.

Pada 13 Jun lalu, Zaim Ikhwan dan Ismanira, masing-masing berusia 29 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas satu pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya pada 5 Disember 2023.

Jika sabit salah mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya.

Mayat Zayn Rayyan ditemui dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai dekat sini selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Ada kesan darah di bilik dan bilik air rumah Zayn Rayyan – Pegawai Penyiasat

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here