Tan Sri Azam Baki

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka semula kertas siasatan berhubung isu penerokaan hutan simpan secara besar-besaran di Raub, Pahang, susulan pendedahan terbaharu yang mencetuskan perhatian masyarakat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan terdahulu yang dibuka pada tahun 2021 kini disambung semula dengan tumpuan khusus terhadap beberapa aspek berkaitan tatakelola dan unsur rasuah yang dipercayai membolehkan penerokaan haram terus berlaku.

“Jawapannya ya, SPRM telah membuka kertas siasatan berhubung isu di Raub. Dulu kita pernah membuka siasatan seumpamanya pada tahun 2021, dan ini merupakan kesinambungan daripada isu baharu yang timbul.

“Saya telah arahkan SPRM Pahang untuk meneruskan siasatan dengan melihat kepada dua aspek utama.

“Pertama, bagaimana penerokaan haram ini boleh berlaku dalam tempoh-tempoh tertentu, dan kedua, isu tatakelola di pejabat tanah dan Pejabat Tanah dan Galian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Konvokesyen Pegawai Integriti Bertauliah Ke-11 Tahun 2025 di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.

Menurut Azam, siasatan itu akan dilaksanakan secara menyeluruh bagi memastikan tiada pihak yang terlepas sekiranya wujud unsur salah guna kuasa atau rasuah dalam pengurusan tanah di daerah berkenaan.

Isu penerokaan tanah haram di Raub kembali menjadi tumpuan selepas laporan media dan aduan penduduk tempatan mendakwa wujud kegiatan pencerobohan dan pembalakan tanpa lesen di kawasan tanah kerajaan serta hutan simpan.

Dalam perkembangan lain, Azam turut memaklumkan bahawa siasatan berhubung Operasi Sky (Op Sky) telah dilengkapkan dan kini dalam proses akhir untuk dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya.

“Kes ini telah lengkap disiasat oleh pegawai penyiasat dan sedang dikemaskan. Ia dijangka akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk kajian pada minggu hadapan.

“Saya berharap satu keputusan dapat disegerakan kerana rakyat ingin tahu apakah hasil atau outcome daripada kes ini,” tambahnya.

SPRM sebelum ini melancarkan Op Sky sebagai tindakan khas membanteras kegiatan pengubahan wang haram dan rasuah rentas sektor, termasuk yang melibatkan penguat kuasa dan sindiket berprofil tinggi.

Azam turut memberi jaminan bahawa SPRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati menyalahgunakan kuasa atau melindungi kegiatan haram. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Cepat2 buat siasatan, pastikan kesemua penceroboh2 haram tersebut dipenjarakan sesuai dengan kadar/luas pencerobohan yang dilakukan.

    Kalau bahagian pendakwaan tak cukup peguam, boleh hire peguam swasta, mereka cekap dan laju buat kerja.

    Dah lama rakyat tertunggu, undang2 yang tidak ditegakkan umpama undang2 yang telah mati, bersifat ganjil dan luar tabie.

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here