Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Tujuh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Pahang mencatatkan keuntungan manakala dua lagi mengalami kerugian bagi tahun kewangan 2023 yang telah diaudit.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, dua GLC yang mengalami kerugian ialah Kumpulan Amanah Saham Pahang Berhad (ASPA) dan Pengurusan Pasir Pahang Berhad (PPPB)

“Tujuh GLC mencatatkan keuntungan adalah Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP), Kumpulan Yayasan Pahang (YP), Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), Kumpulan Pahang Corporation (Pahang Corp), Kumpulan Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK), Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands (PKCH) dan Perbadanan Taman Negeri Pahang (PTNP),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (Pas-Cheka) di Dewan Undangan  Negeri (DUN), hari ini.

Menurut Wan Rosdy, prestasi GLC sentiasa dipantau kerajaan negeri bagi memastikan ia kekal menjadi penyumbang utama kepada hasil dan pembangunan ekonomi negeri.

Tambah beliau, terdapat sembilan syarikat induk atau perbadanan yang menerajui GLC Pahang dan terlibat dalam pelbagai sektor perniagaan pada tahun lalu.

Jelasnya, kerugian yang dicatatkan Kumpulan ASPA berpunca daripada prestasi lemah anak syarikat utamanya, Mentiga Corporation Berhad, yang mencatat kerugian sebanyak RM13.6 juta.

Jelasnya, kerugian PPPB pula disebabkan pembekuan Lesen Eksport (AP) oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), sekali gus menjejaskan operasi dan jualan syarikat tersebut.

Pihaknya telah mengambil langkah penambahbaikan bagi membantu memulihkan syarikat yang mengalami kerugian termasuk penyediaan pelan pemulihan perniagaan untuk tempoh lima tahun bagi Mentiga Corporation Berhad.

Manakala bagi PPPB, rayuan kepada kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan semula Lesen AP sedang diteruskan, selain menimbang pelbagai pilihan lain untuk memastikan kelangsungan operasi syarikat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here