JAKARTA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpuas hati dengan lawatan tiga hari beliau keĀ  Indonesia sejak Ahad lalu.

Jelasnya, lawatan rasmi yang berjumpa dua pemimpin utama Indonesia itu jelas mencapai sasaran dengan beberapa keputusan dicapai dalam kedua-dua pertemuan tersebut.

“Secara peribadi saya merasa sangat berpuas hati dengan hasil lawatan ini kerana perkara-perkara yang di luar kerangka hubungan dua hala telah kami bincangkan.

“Begitu juga kepentingan kedua-dua negara dalam politik dan geoekonomi serantau malah di peringkat antarabangsa dan kita mengharapkan agar ada susulan daripada Wisma Putra dan Kementerian Luar Negeri Indonesia,” katanya dalam sidang media akhirnya hari ini.

Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media terakhirnya selepas lawatan kerja ke Indonesia di Jakarta hari ini.

Terdahulu Ahmad Zahid selesai mengadakan pertemuan dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto di Istana Merdeka, Jakarta.

Pertemuan itu mengambil masa kira-kira sejam 45 minit dengan dihadiri Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin.

Keputusan pertama yang dicapai adalah mengenai sijil halal antara kedua-dua negara.

Ahmad Zahid berkata, kedua-dua negara bersetuju untuk mengizinkan penggunaan sijil halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) boleh digunakan terus terhadap barang-barangan yang diimport dari Malaysia juga sebaliknya.

“Tidak lagi ada keperluan untuk pihak badan pengeluaran sijil halal Indonesia bagi mengadakan suatu SOP yang sedia ada bagi barang-barang Malaysia yang diimport oleh Indonesia untuk menggunakan logo baru halal bagi Indonesia.

“Ertinya, cukup sekadar logo JAKIM dan ini akan diterima pakai. Begitulah juga pihak Malaysia akan mengiktiraf sijil halal Indonesia bagi produk-produk yang dieksport ke Malaysia dan diimport oleh negara kita dan penggunaan logo itu tidak perlu lagi untuk JAKIM mengeluarkan logo benar,” katanya lagi.

Turut dipersetujui adalah kedua-dua negara untuk mengadakan forum industri halal peringkat ASEAN.

Jelasnya, keputusan bersama itu akan dibawa ke Wisma Putra untuk diangkat ke Sekteriat General ASEAN untuk mendapatkan persetujuan dari negara-negara anggota.

“Selepas itu akan disarankan agar Majlis Halal ASEAN diwujudkan bagi mengkoordinasikan bukan hanya pengeluaran sijil halal tetapi menjadikan ASEAN sebagai pasaran besar untuk produk-produk di kalangan negara ASEAN atau inter-ASEAN.

“Perdagangan mengenai produk halal ini dilakukan dalam tempoh yang paling terdekat dan terkait dalam industri halal ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here