KUALA LUMPUR – Dua belas individu yang menggunakan maklumat palsu dalam pendaftaran lewat kelahiran bertaraf bukan warganegara kepada warganegara dan pendaftaran kelahiran didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Tertuduh yang berusia dalam lingkungan antara 20-an hingga 70-an didenda antara RM800 hingga RM1,800 selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan di beberapa Mahkamah Majistret secara berasingan.
Antaranya, seorang pengarah syarikat dan juruteknik didenda masing-masing sebanyak RM1,000 dan RM800 selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret Atiqah Mohamed@Mohamad Saim atas pertuduhan mengemukakan maklumat palsu semasa permohonan pendaftaran kelahiran menggunakan Borang Daftar Kelahiran (JPN.LMO1).
Kedua-dua tertuduh, Lim Kim Seng, 55 dan Teh Jit Chyn, 62, melakukan kesalahan itu antara jam 8 pagi hingga 5 petang di kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Taman Maluri, di sini, pada 29 April 2004.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 36(b) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.
Akta itu memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM2,000 atau pemenjaraan selama tempoh 12 bulan atau kedua-duanya.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret berlainan, tiga individu didenda RM1,700 dan jika gagal bayar denda, boleh dipenjara tiga bulan selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret Marisqa Khalizan atas pertuduhan dengan sengaja mengemukakan maklumat palsu semasa membuat Permohonan Pendaftaran Kelahiran menggunakan Borang Daftar Kelahiran (JPN.LMO1).
Ketiga-tiga tertuduh, Chin Kooi Keong, 64; Sevasamy Batumalai, 57 dan Yew Fah Fook, 63, melakukan kesalahan itu masing-masing jam 8.59 pagi serta antara jam 8 pagi hingga 5 petang di kaunter JPN Taman Maluri, di sini, pada 10 Mac 2004; 15 September 2004 dan 21 Januari 2004.
Selain itu, dalam pendakwaan di mahkamah berasingan, seorang warga emas didenda RM1,800 selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan atas pertuduhan memberi maklumat palsu semasa mengemukakan permohonan pendaftaran kad pengenalan 12 tahun seorang kanak-kanak.
Tertuduh, Loh Hoi Chan, 70, melakukan kesalahan itu melakukan kesalahan itu kira-kira jam 10.39 pagi di kaunter JPN Kuala Lumpur pada 21 April 2016.
Dia didakwa mengikut Peraturan 25(1)(b), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) dan boleh dihukum di bawah peraturan yang sama.
Akta itu memperutukkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Hoi Chan dan seorang bapa, Siew Vee Ming, 55, juga didenda RM1,000 setiap seorang selepas mengaku bersalah pertuduhan sengaja mengemukakan maklumat palsu semasa membuat Permohonan Pendaftaran Kelahiran menggunakan Borang Daftar Kelahiran (JPN.LM01).
Hoi Chan dan Vee Ming melakukan kesalahan itu di kaunter JPN Taman Maluri, di sini, masing-masing kira-kira jam 3.12 petang, 5 April 2004 serta antara jam 8 pagi hingga 5 petang pada 31 Mei 2004.
Kedua-dua lelaki itu melakukan kesalahan di bawah Seksyen 36(b) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan denda tidak lebih RM2,000 atau 12 bulan penjara atau kedua-duanya. – MalaysiaGazette