KUALA LUMPUR – Sekurang-kurangnya 21 buah rumah terjejas dalam kebakaran di Kampung Batu Putih, Sandakan, pagi tadi
Menurut kenyataan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sandakan, Pusat Kawalan Operasi Daerah menerima panggilan kecemasan daripada orang awam mengenai kebakaran tersebut pada jam 11.05 pagi.
Susulan itu, seramai 15 anggota termasuk empat pegawai bersama sebuah kenderaan pacuan empat roda (Revo), sebuah ambulans dan sebuah kenderaan jenis Aruz digerakkan ke lokasi kejadian, katanya.
“Sebaik tiba di lokasi, petugas mendapati beberapa rumah telah terbakar.
“Anggota bertugas membantu pihak bomba memadamkan api dan mengawal orang awam agar tidak menghampiri kawasan berbahaya sepanjang operasi pemadaman dijalankan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Dalam kejadian itu, seorang kanak-kanak perempuan melecur di tangan kanan.
Bagaimanapun, kanak-kanak itu telah menerima rawatan awal di ambulans Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sebelum dihantar ke Hospital Sandakan menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan selanjutnya.
APM memaklumkan jumlah sebenar rumah yang musnah masih dalam siasatan pihak bomba, manakala proses pengumpulan data mangsa sedang dijalankan APM Sandakan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Jumlah keseluruhan mangsa yang terjejas masih belum dikenal pasti. – MalaysiaGazette.