Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan

KUALA LUMPUR – Tidak timbul langsung apa-apa niat atau agenda DAP untuk mengubah atau meminda perkara-perkara asas dalam Perlembagaan Persekutuan.

Malah, tegas Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Syahredzan Johan, jaminan itu juga telah berkali-kali dinyatakan pemimpin parti tersebut termasuk yang terbaharu dalam Kongres Kebangsaan DAP ke-18 yang berlangsung bulan lalu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bangi berkata, perjuangan DAP adalah demi negara Malaysia untuk rakyat Malaysia.

“Perjuangan ini mengikut lunas undang-undang dan dapat dibuktikan melalui penglibatan DAP secara konsisten dalam proses demokrasi dan pilihan raya negara.

“Saya menyeru semua pihak, sama ada kawan atau lawan, untuk tidak lagi mempersoalkan pendirian DAP mengenai perkara-perkara asas dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Syahredzan mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki seperti yang dilaporkan media hari ini yang mana DAP tidak dapat meminda Perlembagaan Persekutuan walaupun dengan 148 kerusi Parlimen.

Asyraf Wajdi dilaporkan berkata, dakwaan bahawa UMNO bakal membiarkan agenda perjuangan Islam dan Melayu tergadai adalah tidak berasas, memandangkan sebarang pindaan terhadap perkara berkaitan kedudukan Islam dan hak istimewa Melayu memerlukan perkenan Majlis Raja-Raja Melayu.

Sementara itu, Syahredzan sekali lagi menegaskan DAP sentiasa menjunjung, menghormati dan mempertahankan perkara-perkara asas dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, ia termasuk Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan istimewa orang Melayu dan Orang Asal Sabah dan Sarawak, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan, serta hak dan kepentingan sah kaum dan masyarakat lain dalam Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here