Foto fail MALAYSIAGAZETTE.

Pertikaian berlarutan antara kerajaan Sarawak dan kerajaan Persekutuan yang membabitkan isu hak minyak dan gas semakin meruncing dan berpotensi menjejaskan landskap politik Sarawak, khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang. Konflik antara Petronas dan Petros bukan sahaja bersifat ekonomi, malah boleh mencetuskan ketegangan politik dan mencabar kredibiliti Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebagai pemerintah Kerajaan Sarawak.

Inti pati kepada pertikaian ini terletak kepada pertembungan antara Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974) yang menjadi senjata utama Putrajaya dan Ordinan Perlombongan Minyak Sarawak 1958 (OMO 1958) serta Ordinan Pengedaran Gas 2016 (DGO) yang menjadi sandaran kerajaan Sarawak. Putrajaya berpendirian bahawa semua hasil minyak dan gas di Malaysia adalah milik Persekutuan manakala Sarawak menuntut hak milik sepenuhnya atas sumber yang berada di dalam wilayahnya.

Dr. Awang Azman Awang Pawi

Dalam pertembungan ini, Sarawak dilihat masih berlembut apabila Premier Sarawak, Abang Johari Tun Openg, dalam rundingan terkininya bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersetuju mengiktiraf PDA 1974 sebagai kerangka utama pengurusan sumber minyak dan gas negara. Hakikatnya, Sarawak memperoleh beberapa konsesi seperti hak sebagai aggregator gas dan akses kepada 1.2 bilion kaki padu gas sehari untuk kegunaan domestik, namun terdapat kritikan mengatakan bahawa Sarawak masih akur kepada ketetapan Putrajaya yang meletakkan Petronas terus sebagai pihak dominan.

Ketidaksepakatan

Yang lebih membimbangkan ialah ketidaksepakatan antara GPS dan DAP Sarawak dalam membawa isu ini ke peringkat perundangan. Kedua-dua pihak saling menuding jari apabila masing-masing tidak berani mencabar PDA 1974 di mahkamah, meskipun ia dilihat sebagai satu-satunya jalan untuk Sarawak menguji kesahihan tuntutan undang-undangnya.

Dalam konteks politik, keadaan ini boleh meletakkan GPS dalam posisi yang rapuh. GPS yang memenangi 76 daripada 82 kerusi DUN dan 23 daripada 31 kerusi Parlimen Sarawak dalam PRN dan PRU lalu, kini berdepan risiko keterjejasan sokongan sekiranya dilihat kurang berjaya membawa pulangan besar kepada rakyat Sarawak hasil daripada kelebihan politiknya di peringkat persekutuan.

Seperti yang diprovokasikan oleh pemimpin DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, rakyat Sarawak akan kecewa jika GPS gagal memanfaatkan ‘momentum’ sebagai ‘kingmaker’ di Putrajaya untuk memaksa penyelesaian yang lebih berpihak kepada Sarawak.

Pengambilalihan

Dari sudut ekonomi, walaupun Sarawak telah mengambil alih syarikat penerbangan MASWing dan membeli saham dalam Affin Bank, kedua-dua pencapaian dilihat akan membawa cabaran pada masa akan datang untuk memastikan ia mampu memberi impak signifikan kepada kesejahteraan rakyat secara menyeluruh. Pengambilalihan entiti seperti MASWing dianggap berisiko tinggi kerana industri penerbangan dunia berdepan dengan cabaran getir meskipun segelintir untung.

Rakyat Sarawak berasa pemimpin mereka perlu memanfaatkan sepenuhnya kuasa tawar-menawar untuk membawa pulang hasil yang lebih besar dan konkrit daripada sumber asli negeri.

Naratif Sarawak First

Reputasi GPS yang selama ini mengangkat naratif ‘Sarawak First’ dan mempertahankan hak autonomi negeri perlu diperkasakan terutama menjelang pilihan raya negeri Sarawak pada tahun 2026. Ketika tuntutan berkaitan 35% kuota kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak masih belum dilaksanakan selepas lebih dua tahun dijanjikan oleh Perdana Menteri terdahulu dan kini, isu ini diperjuangkan hingga terlaksana bagi mengelak persepsi negative seolah-olah gagal dilaksanakan.

Walaupun terdapat usaha daripada pemimpin seperti Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof, yang mencadangkan penyelesaian ‘menang-menang’ melalui rundingan komersial antara Petronas dan Petros, namun ketidaktentuan dalam rundingan ini tidak ada jaminan. Tambahan pula, laporan dari sumber dalaman menyatakan bahawa rundingan Petronas-Petros kekal menemui jalan buntu, terutama apabila Petros menegaskan peranannya sebagai ‘orang tengah’ dalam urusan jual beli gas di Sarawak, sekali gus mengganggu perjanjian komersial sedia ada Petronas.

Kebimbangan

Pertelingkahan undang-undang yang tidak menemui jalan penyelesaian segera ini membuka ruang kepada ketidaktentuan pelaburan di Sarawak, sekali gus merisaukan pelabur asing dan domestik. Petronas sendiri mengakui bahawa ketidakpastian yang berlanjutan akan mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pelabur dan pembeli. Situasi ini meletakkan kerajaan Sarawak dalam dilema besar – antara mempertahankan maruah undang-undang negeri atau akur kepada kompromi politik demi kestabilan politik.

Dalam konteks PRN akan datang, isu jika tidak diselesaikan secara tuntas maka ini bakal dijadikan modal politik utama oleh pembangkang untuk menyerang GPS. GPS yang selama ini menjanjikan kebangkitan Sarawak sebagai kuasa ekonomi baharu melalui hak autonomi dan sumber asli negeri. Pengundi Sarawak akan menilai sejauh mana GPS telah memenuhi mandat besar yang diberikan sebelum ini. Maka, GPS perlu mempunyai naratif Sarawak maju makmur dan strategi media sosial yang ampuh bagi menanganinya dalam tempoh kritikal dua tahun terakhir hingga ke hari mengundi. GPS perlu belajar daripada sejarah BN di bawah pimpinan Abdullah Badawi apabila kemenangan besar bertukar menjadi beban politik.

Namun perlu diakui bahawa GPS memiliki infrastruktur politik yang kukuh dan rangkaian jentera pilihan raya yang mantap untuk membaiki persepsi dan melaksanakan semua mandat rakyat. Dalam landskap politik moden, terutama di Sarawak yang semakin celik politik, tidak lagi menjamin kemenangan hanya melalui kekuatan logistik semata-mata.
Kesimpulannya, pertikaian Petronas-Petros bukan sekadar isu hak milik sumber negeri, tetapi ujian besar terhadap kredibiliti dan kemampuan GPS dalam mempertahankan apa yang mereka percayai sebagai hak Sarawak.

Maka, GPS harus segera merumuskan jalan keluar umpama menarik rambut di dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak sama ada melalui penyelesaian undang-undang yang tuntas atau rundingan komersial yang benar-benar memihak kepada rakyat Sarawak pada masa yang sama tidak menjejaskan Petronas sebagai milik Negara!

— Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi ialah Pengarah Pusat Kajian Kecemerlangan Melayu, Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here