KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Khas Bebas yang dianggotai wakil penduduk, badan guaman bebas, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hak asasi, wakil kerajaan dan pakar perancangan bandar perlu ditubuhkan bagi menyelesaikan isu Kampung Sungai Baharu, di sini.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berpendapat, kerajaan boleh mengambil langkah tersebut bagi memastikan isu berkenaan dapat diselesaikan secara adil.
Menurut beliau, jawatankuasa itu boleh berperanan menyemak semula status tanah Kampung Sungai Baharu yang didakwa terletak di bawah Malay Agriculture Settlement (MAS) secara sah dan telus.

Dalam masa sama, ujarnya, jawatankuasa tersebut juga boleh menyiasat dakwaan salah guna kuasa serta ketidakpatuhan yang didakwa dilakukan oleh pemaju.
Jelas beliau, penduduk Kampung Sungai Baru berhak mendapat pembelaan yang sewajarnya memandangkan mereka sendiri menjadi mangsa keadaan.
“Isu tersebut adalah jelas bersifat kemanusiaan yang mana penduduk sendiri mendakwa menjadi mangsa penipuan syarikat-syarikat pemaju.
“Oleh itu, penduduk berhak mempertahankan tanah mereka daripada pencerobohan mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Maka, Kerajaan Madani perlu melaksanakan undang-undang khas bagi memastikan bahawa isu sebegini tidak lagi terus berulang pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Mohd Azmi berkata, pihaknya turut menggesa kerajaan mengadakan sesi perbincangan terbuka dengan penduduk Kampung Sungai Baru bagi menyelesaikan masalah tersebut.
Apatah lagi, katanya, terdapat dakwaan beserta bukti menunjukkan tanah itu terletak di bawah MAS yang merupakan milik penduduk tersebut sepenuhnya yang tidak boleh dipindah milik dan disewakan.
“Sudah tentu ia bukanlah sesuatu yang boleh dipandang enteng lebih-lebih lagi apabila penduduk kampung itu sendiri mempunyai dokumen-dokumen tersebut dan tidak boleh hanya mendengar sebelah pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, tambah Mohd Azmi, pihaknya turut mencadangkan supaya kerajaan mengisytiharkan moratorium sementara terhadap sebarang projek pembangunan yang melibatkan pengusiran paksa di kawasan MAS termasuk di Kampung Sungai Baru.
Dalam masa sama, ujarnya, kerajaan wajar melantik auditor bebas untuk meneliti perjanjian sekiranya ada, yang dibuat antara pemaju dan penduduk termasuk proses pampasan dan persetujuan.
Pada 25 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penangguhan sementara terhadap pengusiran beberapa penduduk Kampung Sungai Baru setelah mereka memfailkan semakan kehakiman berhubung pengambilan tanah mereka.
Isu kampung itu kembali hangat selepas penduduk di unit flat yang terlibat dengan Akta Pengambil Tanah (APT) 1960 menerima notis pengosongan premis menjelang beberapa hari sebelum Hari Raya Aidilfitri lalu. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN