Seorang ketua pembantu tadbir sekolah menengah didakwa di Mahkamah Sesyen di Johor Bahru hari ini atas 20 pertuduhan membuat tuntutan palsu.

JOHOR BAHRU – Seorang ketua pembantu tadbir sekolah menengah di Pontian didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas 20 pertuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah lebih RM100,000, empat tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Khairul Md Khalid, 42, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan suatu dokumen dengan niat hendak memperdayakan prinsipal dengan invois berjumlah antara RM1,170 hingga RM7,920 bagi pembekalan modul latih tubi pembelajaran dan pengajaran (P&P) kepada pelajar sekolah terbabit.

Tertuduh mempercayai dokumen tuntutan tersebut mengandungi butiran matan palsu iaitu tuntutan pembayaran bagi pembekalan barangan cetakan modul latih tubi P&P yang sebenarnya pembekalan tersebut tidak dilakukan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sekolah berkenaan antara 1 Mei 2021 hingga 10 Disember 2022.

Kesemua pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24(2) akta sama.

Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Di kamar yang sama, tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas 20 pertuduhan pilihan menggunakan satu dokumen tulen membabitkan jumlah invois dan tuntutan sama, sedangkan dia mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah palsu.

Bagi pertuduhan pilihan, lelaki itu didakwa mengikut seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Rais Adha Ramli manakala tertuduh diwakili peguam Awang Armada Jaya Awang Mahmud.

Pihak pendakwa mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 bagi kesemua 20 pertuduhan serta 20 pertuduhan pilihan.

Awang Armada Jaya memohon jaminan yang minimum buat anak guamnya setelah pendapatan suspek ditahan sejak 2023 dan telah diberikan notis bankrap.

“Anak guam saya juga mempunyai tanggungan seorang isteri dan dua anak, dalam masa sama dia juga turut menjaga ibu mertua,” rayunya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin, masing-masing bagi 20 pertuduhan dan 20 pertuduhan pilihan yang dikenakan terhadapnya selain perlu melapor diri di ibu pejabat SPRM setiap bulan.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 23 Jun depan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here