KUALA LUMPUR – Seorang lelaki parah akibat diserang lima individu bersenjatakan parang dan pedang di hadapan sebuah restoran di Bandar Sunway, Subang Jaya, Selangor awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan MERS999 pada jam 1.54 pagi memaklumkan mengenai insiden tersebut.
Tambah beliau, sebaik menerima maklumat tersebut, anggota rondaan diarahkan ke lokasi kejadian untuk memberi bantuan dan mengesahkan maklumat laporan polis yang dibuat sebagai maklumat pertama.
“Hasil siasatan mendapati semasa kejadian, mangsa bersama beberapa rakan baru selesai makan dan mahu bergerak balik ke rumah, tiba-tiba datang sebuah motokar jenis Toyota Vios warna putih dengan nombor pendaftaran VCWXXXX / BCWXXX yang dinaiki oleh suspek lima lelaki disyaki warga tempatan yang tidak dikenali bertopeng dan bersenjatakan parang serta pedang.
“Seterusnya kesemua suspek melarikan diri dengan menaiki motokar,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurut Wan Azlan, akibat daripada serangan itu, mangsa mengalami kecederaan di tangan, kaki dan badan serta putus lima jari sebelah tangan kiri.
Tambah beliau, mengsa telah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
Wan Azlan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun keseksaan (Akta 574) iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera parah dengan jalan menggunakan senjata atau lain-lain benda yang berbahaya.
Katanya, pelaku boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat jika disabitkan kesalahan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta menyalurkannya kepada pihak polis dengan menghubungi talian 03-78627222 (Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya) atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Fadilah Ajamain di talian 019-8582166. – MalaysiaGazette