BUKIT MERTAJAM – Seorang bayi lelaki berusia sebulan memerlukan bantuan dana orang ramai sebanyak RM80,000 untuk menampung kos pembedahan masalah jantung berlubang.
Siti Noor Najihah Mahadher, 25, berkata anaknya, Muhammad Umar Muhammad In’amul Hassan itu dilahirkan cukup bulan dengan berat 3.26 kilogram dan tidak menunjukkan sebarang simptom ketika lahir.
“Selepas dua minggu, dia mula mengalami sesak nafas dan dimasukkan ke hospital, di mana pemeriksaan lanjut mendedahkan keadaan jantungnya yang kritikal dan telah disahkan menghidap Ventricular Septal Defect (VSD), Atrial Septal Defect (ASD) .
“Kami benar-benar terkejut kerana semasa dalam kandungan, semua pemeriksaan menunjukkan bayi kami sihat. Sekarang, kami hanya mahu menyelamatkan nyawanya,” katanya di sini.

Menurutnya, Muhammad Umar dikesan mempunyai dua lubang di jantung dengan salah satunya berukuran 6.5 milimeter.
“Keadaan itu menyebabkan dia mengalami kesukaran bernafas dan kekurangan oksigen dan kini anak bergantung kepada bantuan oksigen di hospital sementara menunggu pembedahan yang boleh menyelamatkan nyawanya
“Doktor memaklumkan bayi kami perlu menjalani pembedahan segera bagi mengelakkan komplikasi serius seperti tekanan paru-paru tinggi, pembengkakan paru-paru, dan seterusnya kegagalan jantung,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, pihaknya akan membantu keluarga bayi itu mengumpul dana daripada orang ramai apabila pembedahan telah dijadualkan esok.
“Muhammad Umar memerlukan bantuan dana sebanyak RM80,000 kerana keluarganya hanya mampu menampung RM2,000.
“Bapanya, Muhammad In’amul Hassan, 28, bekerja sebagai penghantar makanan, manakala isterinya seorang suri rumah,” katanya.
Orang ramai yang berhasrat menghulurkan derma boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare (Nombor akaun: 3201428817) atau melalui laman web onehopecharity.org.
Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi talian 04-539 9212, 016-419 2192, 019-232 2192 atau 018-911 4192. – MalaysiaGazette