KUALA LUMPUR – Proses pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang sedang berlangsung tidak wajar dijadikan medan menyerang individu atau kelompok tertentu secara sengaja.
Sebaliknya, Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK), Arshad Hassni berkata, pemilihan itu seharusnya menjadi ruang memperkukuh perpaduan, bukan medan perpecahan.
Ujar beliau, sebarang bantahan atau persoalan berhubung perjalanan pemilihan wajar disalurkan melalui saluran yang betul.
Selain itu, tambah beliau, ruang juga harus diberikan kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) untuk memberi penjelasan secara telus terhadap segala isu yang dibangkitkan.
“Ini penting untuk memastikan kepercayaan anggota terhadap integriti dan ketelusan institusi Keadilan sebagai parti reformasi yang berpegang teguh kepada nilai keadilan dan demokrasi.
“Hanya dengan semangat terbuka, berhemah, dan menghormati proses dalaman parti, Keadilan akan terus teguh sebagai parti masa depan yang mampu membawa agenda perubahan demi rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, veteran PKR yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menyifatkan keputusan pemilihan parti itu bagi penggal 2025-2028 sebagai satu isyarat jelas penolakan akar umbi terhadap budaya politik elit dan kartel dalam parti itu.
Menurut Hassan, ramai tokoh besar yang pernah menang dalam pemilihan PKR 2022 di bawah kem kartel ‘Ayuh Malaysia’ kini tewas mengejut kepada calon-calon baharu yang tidak memiliki nama besar mahupun jawatan tinggi dalam kerajaan.
Sementara itu, Arshad menyifatkan kenyataan Hassan yang menyentuh mengenai inisiatif Ayuh Malaysia bukan sahaja tidak berasas, malah tidak adil terhadap usaha ikhlas yang digerakkan oleh pelbagai pihak demi memperkukuh jentera parti dalam menghadapi pilihan raya.
Jelas beliau, Ayuh Malaysia adalah inisiatif yang lahir daripada keperluan untuk menarik sokongan pengundi atas pagar, iaitu golongan penting terutamanya di kerusi-kerusi marginal yang menentukan kemenangan atau kekalahan parti.
Menurut beliau, inisiatif itu digerakkan oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar sejak Mac 2022, meneruskan pendekatan yang terbukti berkesan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Tegasnya, kempen itu bukan sekadar idea di atas kertas, tetapi melibatkan ribuan sukarelawan akar umbi yang turun ke lapangan untuk memperkuatkan jentera parti di medan sebenar.
“Mewujudkan persepsi bahawa Ayuh Malaysia adalah kelompok berkepentingan semata-mata menafikan sumbangan para sukarelawan dan aktivis yang bekerja keras memastikan
“Keadilan terus relevan di mata rakyat. Tuduhan sebegini hanya meremehkan pengorbanan mereka yang sanggup turun padang demi memastikan kemenangan bersama – satu pengorbanan yang seharusnya dihargai, bukan dipersoalkan,” katanya. – MalaysiaGazette