MELAKA – Seorang penolong pegawai perubatan di sebuah Pejabat Kesihatan Daerah di sini direman tujuh hari di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh di sini hari selepas disyaki mengemukakan butir matan palsu berjumlah kira-kira RM1.5 juta, dua tahun lalu.
Perbuatan itu dilakukan suspek lelaki berusia 47 tahun bagi kerja-kerja perolehan peralatan dan bukan perubatan sedangkan pembekalan tersebut tidak dilaksanakan sepenuhnya.
Majistret Uthman Abd Ghani mengeluarkan perintah reman selama tujuh hari sehingga 29 April ini selepas menerima permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Difahamkan, suspek bertanggungjawab meluluskan perolehan itu kepada kontraktor namun mengambil kesemua wang terbabit berjumlah RM1.5 juta daripada kontraktor dan membeli barangan melalui platform e-dagang yang tidak menepati kualiti sepatutnya.
Terdahulu, suspek tiba di Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh menaiki kenderaan khas SPRM kira-kira jam 9 pagi.
Menurut sumber, suspek ditahan kira-kira jam 2.28 petang pada semalam ketika hadir bagi memberi keterangan di Pejabat SPRM Melaka.
Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette