KULAI – Seorang remaja lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyunting gambar lucah mangsa-mangsa di sebuah sekolah menengah swasta dengan menggunakan telefon bimbitnya.
Tertuduh yang berusia 16 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Majistret, R Salini dalam prosiding secara tertutup.
Bagi pertuduhan itu dia didakwa menghasilkan bahan penganiayaan seksual seorang mangsa perempuan berusia 17 tahun dengan cara menyunting gambar menjadi gambar lucah.
Dia didakwa melakukan kesalahan di Taman Indahpura di sini pada pukul 12.40 tengah hari, 9 April lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 5 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman dilepaskan dengan amaran; bon berkelakuan baik; membayar denda; khidmat masyarakat; dihantar ke sekolah diluluskan atau dihantar ke sekolah Henry Gurney.
Sementara bagi satu lagi tuduhan, remaja berkenaan mengaku bersalah memiliki bahan lucah dalam telefon bimbitnya jenis Xiomi.
Mengikut pertuduhan itu, dia didakwa memiliki 14 keping gambar lucah dalam telefon bimbitnya dan kesalahan tersebut didakwa dilakukan di lokasi yang sama pada pukul 5.28 petang, 8 April lalu.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM4,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 23 Jun ini untuk sebutan semula kes.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S Thiviya manakala tertuduh diwakili peguam, T C Lim.
Sebelum ini, remaja berkenaan dilaporkan menjual gambar-gambar lucah di internet yang sudah siap disunting pada harga serendah RM2 setiap satu.
Perbuatan tersebut terbongkar selepas beberapa mangsa yang merupakan pelajar dan bekas pelajar sekolah swasta membuat laporan polis.- MalaysiaGazette