KULAI – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senai, Wong Bor Yang mendakwa polis menahan remaja yang menyunting gambar lucah bekas pelajar dan pelajar di sebuah sekolah swasta di sini, lebih lama daripada tempoh reman yang ditetapkan.
Beliau berkata, tempoh reman remaja berusia 16 tahun itu sepatutnya tamat pada 4 petang kelmarin dan sepatutnya dibebaskan atau didakwa pada hari yang sama.
“Bagaimanapun, remaja itu kekal dalam tahanan polis sehingga hari ini dan dia dibawa ke Mahkamah Majistret di sini untuk didakwa.
“Mungkin ini satu kesilapan bagi pihak polis,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Remaja berkenaan didakwa di mahkamah tersebut pagi ini atas tuduhan menyunting gambar lucah mangsa-mangsa di sebuah sekolah menengah swasta di sini.
Bor Yang berkata, ibu bapa remaja itu telah meminta kehadirannya ke mahkamah untuk membantu mereka.
Katanya, peguam remaja itu juga akan meminta mahkamah membenarkan remaja berkenaan bertemu dengan bapanya untuk membincangkan pengakuannya.
“Sudah 15 hari budak lelaki itu ditahan dan ibu bapanya tidak dapat bertemu dengannya dengan sempurna,” katanya.
Terdahulu remaja berkenaan dilaporkan menjual gambar-gambar lucah yang sudah siap disunting pada harga serendah RM2 setiap satu.
Perbuatan tersebut terbongkar selepas beberapa mangsa membuat laporan polis.- MalaysiaGazette