Ibu bapa Zayn Rayyan Abdul, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf hadir bagi sambungan perbicaraan atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik itu di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 22 APRIL 2025

PETALING JAYA – Pegawai penyiasat yang mengendalikan kes pengabaian Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, Asisten Superitendan (ASP) Mohd. Hafizee Ismail menafikan beliau memesongkan fakta.

Saksi ke-28 itu turut menafikan melakukan siasatan membabitkan ibu bapa kanak-kanak autistik itu, Ismanira Abdul Manaf dan suaminya, Zaim Ikhwan Zahari secara sambil lewa ketika sesi soal balas hari ini di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Dr Syahliza Warnoh.

Peguam pasangan itu, Haresh Mahadevan menyoal adakah benar Mohd Hafizee cuba ‘mengenakan’ mereka.

“Saya cadangkan bukan sahaja saksi-saksi diminta untuk mengaitkan dan mengenakan tertuduh.

“Anda juga memainkan satu peranan di mahkamah untuk memesongkan fakta semata-mata untuk mendapatkan sabitan,” soalnya.

Namun Mohd Hafizee menjawab tidak betul, tidak benar dan tidak setuju dengan beberapa soal yang diajukan kepadanya.

Haresh mendakwa siasatan yang dijalankan sangat lemah dan tidak lengkap bagi pertuduhan dikenakan terhadap anak guamnya itu.

Namun Mohd Hafizee tidak bersetuju dengan cadangan.

Pada 13 Jun lalu, Zaim Ikhwan dan Ismanira, masing-masing 29 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, atas satu pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya pada 5 Disember 2023.

Pertuduhan jika sabit salah mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya.

Mayat Zayn Rayyan ditemukan dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai dekat sini selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri.

Perbicaraan bersambung esok. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here