SHAH ALAM – Sepasang suami isteri antara tiga individu ditangkap polis kerana disyaki menerima upah sebanyak RM1,500 daripada sindiket along dari Singapura untuk melakukan khianat api dan simbah cat.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tiga suspek itu ditahan dalam operasi khas di Kepong dan Kuala Lumpur antara 8 dan 9 April lalu.
Katanya, tangkapan dibuat susulan laporan polis dibuat seorang lelaki berusia 29 tahun yang tinggal di Ampang menyatakan rumahnya telah terbakar akibat dibaling bom petrol.
“Mereka mendapat upah antara RM1,000 hingga RM1,500 sekiranya melakukan khianat dengan api manakala khianat simbah cat dapat antara RM600 hingga RM900.
“Dua suspek lelaki juga menawarkan job ini kepada individu lain menerusi Facebook dan sebagainya dengan bayaran RM500 hingga RM800 bagi khianat dengan api dan upah RM300 hingga RM350 untuk simbah cat,” katanya pada media di IPK Selangor, hari ini.
Jelas beliau, siasatan mendapati dua suspek lelaki berperanan menerima tawaran along melalui media sosial manakala suspek wanita berperanan merakam video dan mengambil gambar sewaktu kejadian khianat dilakukan.
Katanya, rakaman tersebut dihantar untuk tuntutan upah daripada pihak yang mengupah mereka.
“Siasatan masih dijalankan termasuk bagi mengetahui sama ada mereka ini ada meminjam daripada along selain mengenal pasti suspek-suspek lain dan sindiket along dari Singapura itu.
“Semakan mendapati ketiga-tiga mereka tidak mempunyai rekod lampau,” tambahnya.
Menurut Hussein, kumpulan itu telah melakukan sembilan kes khianat di Selangor, Perak, Johor dan Negeri Sembilan.
Beliau memaklumkan, dua suspek lelaki masih direman selama enam hari manakala suspek wanita dibenarkan ikat jamin polis.
Kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan.-MalaysiaGazette