Dinding sebuah kolam takungan yang pecah menyebabkan air melimpah ke kawasan perumahan di Taman Seri Alam, Sungai Buloh, Selangor. Foto SADIQ SANI, 30 DISEMBER 2024

KUALA LUMPUR – Belum reda trauma lama, penduduk Taman Seri Alam, Saujana Utama,  Sungai Buloh sekali lagi dikejutkan dengan insiden benteng kolam takungan pecah, pagi tadi menjadikan ia kejadian kali ketiga sejak 2015.

Hujan lebat yang melanda kawasan itu pada pagi tadi menyebabkan benteng kolam pecah, sekaligus mencetuskan kebimbangan besar dalam kalangan penduduk yang sudah lama mempersoalkan tahap keselamatan struktur kolam berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Datuk Dr Ab Halim Tamuri yang turun padang meninjau kawasan berkata, kejadian berulang itu amat menyedihkan kerana masih tiada penyelesaian sewajarnya diambil pihak bertanggungjawab.

“Masalah ini bukan sahaja menjejaskan harta benda, malah turut memberi kesan emosi yang mendalam kepada penduduk terlibat,” katanya dalam satu hantaran di laman sosial, hari ini.

Susulan itu, beliau mendesak kerajaan Selangor agar mengambil tindakan tegas termasuk mempertimbangkan penutupan kolam atau kerja pendalaman untuk mengelakkan tragedi sama terus berulang.

“Saya mohon pihak berwajib segera campur tangan bagi menoktahkan mimpi ngeri yang berulang buat rakyat di kawasan ini.

“Ini kerana penduduk berhak untuk hidup dalam keadaan selamat dan tenang tanpa ancaman bencana yang boleh dielakkan,” tambahnya.

Difahamkan, kejadian pertama berlaku pada 2015, manakala kali kedua berlaku pada Disember 2024 dengan limpahan air setinggi 0.3 meter yang mengakibatkan pelbagai kerosakan.

Katanya, insiden ketiga itu jelas membuktikan tindakan segera dan menyeluruh perlu diambil, bukan lagi pembaikan sementara yang hanya bersifat jangka pendek. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast