Calon-calon PRK DUN Ayer Kuning (dari kiri) calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek, Calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir dan Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS menunjukkan nombor cabutan kedudukan calon dalam kertas undi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Tapah. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 12 APRIL 2025.
Calon-calon PRK DUN Ayer Kuning (dari kiri) calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek, Calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir dan Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS menunjukkan nombor cabutan kedudukan calon dalam kertas undi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Tapah. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 12 APRIL 2025.

BERBAKI dua hari lagi kempen semua calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning sudah mengumumkan manifesto serta tawaran masing-masing kepada pengundi.

Calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS, menjadi individu pertama mengumumkan manifestonya pada hari keempat kempen diikuti calon Barisan Nasional (BN), Dr Ustaz Mohamad Yusri Bakir pada 20 April.

Calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek mengambil pendekatan berbeza apabila enggan menggunakan perkataan manifesto sebaliknya dipanggil tawaran yang diumumkan beliau pada hari ke-11 kempen.

Kedua-dua ustaz dan peguam yang bertanding memilih untuk mengumumkan jumlah manifesto yang berbeza di mana Bawani menawarkan tiga perkara, Ustaz Yusri pula menggariskan tiga tekad dan tujuh tawaran utama dan Abd Muhaimin menawarkan lima tawaran dipanggil TEKAD.

Namun antara semua calon sudah tentu manifesto calon BN, Mohamad Yusri atau lebih dikenali sebagai Ustaz Yusri antara yang ditunggu-tunggu bukan sahaja oleh pengundi Ayer Kuning malah pihak lawan.

Bertemakan ‘Ayer Kuning Sejahtera Bersama’ manifesto berkenaan menggariskan tiga tekad dan tujuh tawaran utama buat pengundi di DUN Ayer Kuning.

Manifesto Ustaz Yusri PRK Ayer Kuning Calon BN Ayer Kuning • Tawaran PRK Ayer Kuning 2024 • Pelan Perak Sejahtera 2030 • Ustaz Yusri Bakir • Manifesto PRK Ayer Kuning BN • TVET Ayer Kuning • Program Rahmah Tapah • Infrastruktur kampung • Geran usahawan kecil • Ekonomi tempatan Ayer Kuning
Calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir mengumumkan manifesto Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di Command Center BN di Kampung Haji Tahir, Tapah, pada Ahad.
Foto: Aniq Nabilafiq Anuar

Manifesto yang diumumkan Ustaz Yusri dilihat lebih mesra rakyat di mana ia bukan sahaja menyantuni pelbagai lapisan umur malah meliputi setiap kaum yang ada di DUN Ayer Kuning.

PRK tidak seperti PRU di mana isu tempatan merupakan elemen penting yang perlu diberatkan setiap calon dalam memenangi hati pengundi, jadi siapa yang menawarkan penyelesaian terbaik terhadap masalah tempatan maka sudah pasti akan dipilih.

Ustaz Yusri ketika pembentangan berkata, manifesto beliau turut menyentuh golongan warga emas, pendidikan serta perkhidmatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang terbaik.

Di bawah teras ekonomi tempatan yang makmur, beliau merancang untuk menyediakan geran khas kepada usahawan kecil, petani, pekebun kecil, dan penjaja.

Selain itu, Ustaz Yusri juga mahu memperluaskan akses pasaran bagi hasil tani dan produk kampung, serta memperkasakan keusahawanan melalui bimbingan dan e-dagang.

Semua tawaran ini dilihat bersifat mesra rakyat setempat memandangkan DUN Ayer Kuning merupakan kawasan kampung yang kebanyakkan mereka terdiri daripada petani, pekebun kecil, penjaja dan usahawan kecil.

Manifesto PSM, tawaran PN kurang menarik pengundi

Calon PSM, Bawani mengemukakan tiga manifesto meliputi pembangunan yang seimbang dan sekata; kemudahan asas yang mencukupi dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang cekap.

Melalui manifesto beliau, Bawani menjanjikan untuk menaik taraf pasar awam di Ayer Kuning, menyelesaikan gangguan bekalan elektrik dan liputan komunikasi serta menambah baik fasiliti sukan, pejabat pos juga bank.

Calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) K.S Bawani di Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di perkarangan Dewan Merdeka Tapah. Foto ABDULLAH YUSOF, 12 APRIL 2025.

Dia juga berhasrat membawa pembangunan seimbang dan sekata di DUN berkenaan dengan menaik taraf pekan Ayer Kuning, mewujudkan peluang pekerjaan beserta gaji setimpal serta rumah mampu milik bawah RM100,000.

Namun, ramai pihak berpendapat tawaran yang dikemukakan Bawani pada PRK Ayer Kuning dilihat tidak cukup kuat untuk meyakinkan pengundi meskipun beliau mendakwa tiga daripada lima tuntutan rakyat yang dibawanya ketika PRU15 sudah dipenuhi.

Manifestonya itu juga dilihat tidak menyantuni golongan petani, pekebun dan peniaga kecil sebaliknya lebih kepada menyelesaikan masalah infrastruktur.

Calon PN, Abd Muhaimin melalui lima tawaran dipanggil ‘Tekad Muhaimin Untuk Rakyat’ dikatakan bukan hanya sekadar janji, tetapi satu iltizam jangka panjang untuk membawa perubahan yang realistik, menyeluruh dan berpaksikan kepada kepentingan rakyat.

Tawaran berkenaan menggariskan lima perkara meliputi tanggungjawab kesihatan dan alam sekitar; ekonomi rakyat dan usahawan diperkasa; khidmat masyarakat, kebajikan dan keharmonian; akses kemudahan dan infrastruktur dipertingkat serta dengar suara rakyat.

Calon PN umum lima tawaran 'TEKAD Muhaimin Untuk Rakyat'
Calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek mengumumkan lima tawaran dipanggil ‘Tekad Muhaimin Untuk Rakyat’ kepada pengundi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning, di SRITI Bidor. Foto MOHAMAD HAFIZI MOHD SAID, 22 APRIL 2025.

Seperti sudah boleh diduga tawaran pertama beliau adalah mengenai isu pencemaran yang didakwanya berkaitan dengan ladang ternakan khinzir haram di Air Kuning.

Beliau turut menawarkan untuk menjadi suara rakyat yang lantang di DUN Perak dengan membawa isu tanah, membantah dasar yang membebankan rakyat, serta membentangkan Laporan Tahunan ADUN Ayer Kuning sebagai tanda komitmen kepada ketelusan dan pertanggungjawaban.

Sama seperti Bawani, Abd Muhaimin juga dilihat sukar untuk meyakinkan pengundi Ayer Kuning terutamanya bukan melayu apabila salah satu tawarannya itu berkait rapat isu sensitif yang dimainkan mereka semasa kempen.

Pengundi tidak terikat dengan manifesto

Sementara itu, Penganalisis politik dan Penasihat Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Salawati Mat Basir berkata, pihaknya melihat manifesto sudah menjadi kewajipan kepada mana-mana calon setiap kali pilihan raya.

Beliau berkata, sebaliknya manifesto bukanlah satu perkara yang mengikat calon dan pengundi memandangkan ia boleh dilaksanakan atau tidak.

Katanya, ini kerana memenuhi kehendak rakyat itu merupakan perkara subjektif dan ia terletak kepada rakyat itu sendiri.

“Rakyat lebih kepada untuk melihat siapa yang lebih berwibawa untuk membantu mereka dan bukanlah janji atau tawaran bulan dan bintang,” katanya ketika dihubungi Malaysia Gazette (MG) Perak.

Prof Madya Dr Salawati Mat Basir

Ditanya sama ada manifesto dan tawaran yang dibentangkan ketiga-tiga calon itu mampu menarik minat pengundi Ayer Kuning atau tidak, Salawati berkata, ia bergantung kepada masyarakat itu sendiri.

“Saya tidak boleh membaca secara tepat apa orang Ayer Kuning mahu tetapi yang pasti mereka mahukan pembaharuan, masa hadapan yang lebih baik dan pembangunan menguntungkan namun bukan kepada pihak perniagaan.

“Penduduk juga mahukan peluang pekerjaan yang lebih mantap kepada generasi mereka yanhg tinggal di situ.

“Pada saya kalau calon-calon yang menang boleh bawakan Alhamdulillah, kalau tidak boleh bawa maka ia akan terletak dalam keadaan seperti biasa setiap lima tahun sekali akan berbicara,” katanya. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

PRK Ayer Kuning: Ustaz Yusri garis 7 tawaran dalam manifesto

Calon PN umum lima tawaran ‘TEKAD Muhaimin Untuk Rakyat’

PRK Ayer Kuning: BN agresif, PN andalkan ceramah, media sosial – Penganalisis

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast