MELAKA – Kepantasan sekumpulan ‘abang Food Panda’ dan orang awam membanteras jenayah berhasil apabila berjaya membantu polis menangkap seorang peragut lelaki disyaki menyamar sebagai penghantar makanan di sini petang semalam.
Kejadian ragut rantai emas dan wang tunai milik seorang wanita itu dipercayai berlaku di sebuah pasar raya di Bachang sebelum disedari sekumpulan penghantar makanan Food Panda.
Lelaki berusia 30-an itu kemudian dikejar sehingga dia berjaya dikepung sekumpulan ‘abang Food Panda’ dan orang awam di kawasan Malim.
Berdasarkan video tular berdurasi 46 saat menunjukkan suspek berbaju hitam kemudian diserahkan kepada pihak polis yang tiba di lokasi kejadian.
Perbuatan jenayah lelaki itu yang menyamar sebagai penghantar makanan Food Panda turut mencetuskan kemarahan penghantar makanan lain kerana telah mencemarkan imej dan nama baik mereka.
Sementara itu, Ketua Polis Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek.
“Kita akan mengeluarkan kenyataan media dalam waktu terdekat kerana suspek dipercayai terlibat dalam banyak kes jenayah lain,” katanya ringkas. – MalaysiaGazette