PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekali lagi hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi ini bagi meneruskan proses rakaman percakapan berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengannya.
Ahli Parlimen Bera itu tiba sekitar pukul 11 pagi menaiki Toyota Alphard berwarna putih.
Kehadiran hari ini menandakan kali kelapan beliau dipanggil SPRM sejak siasatan bermula.
Difahamkan, siasatan turut melibatkan isu pengisytiharan harta di bawah Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009.
Siasatan tertumpu kepada dakwaan penyelewengan dana melibatkan perbelanjaan dan perolehan untuk promosi serta publisiti program Keluarga Malaysia ketika beliau memegang jawatan Perdana Menteri dari Ogos 2021 hingga November 2022.
Media sebelum ini melaporkan, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, Ismail Sabri disahkan sebagai suspek dalam kes itu selepas pihaknya menemui wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang serta 16 kilogram jongkong emas di sebuah lokasi rahsia hasil serbuan sebelum ini.
Setakat ini seramai 33 individu telah dirakam percakapan.
Sebelum ini, pada Januari 2024, beliau juga telah dipanggil SPRM untuk memberi keterangan berhubung dakwaan penggunaan dana berjumlah RM700 juta bagi tujuan publisiti semasa pentadbirannya.
Siasatan dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan, dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: