Joao Tomas.

KUALA LUMPUR – Kelab Kedah Darul Aman (KDA) FC mengesahkan telah membuat tawaran awal kepada bekas bintang Benfica, Joao Tomas untuk berkhidmat selaku Pengarah Teknikal KDA FC bagi musim 2025/2026 dengan syarat segala perbelanjaannya sebagai jawatan ditaja oleh pihak penaja tertentu.

Pemiliknya, Tan Sri Dr Mohd. Daud Bakar berkata, pihak KDA FC sudah mendapat maklum balas yang baik dari pihak penaja luar negara untuk tujuan itu dan dalam proses untuk memuktamadkan semua perbincangan.

Jelas beliau, ia berhubung tawaran bekerja sebagai Pengarah Teknikal dan juga penajaan kepada kos gaji dan perbelanjaan Tomas apabila menjawat jawatan tersebut.

“KDA FC merasa bangga kerana dapat mengenali dan berkomunikasi dengan Joao Tomas, bekas pemain bola sepak profesional Portugal yang telah bermain untuk beberapa kelab terkemuka di Portugal termasuk Benfica, Braga dan Rio Ave.

“Selepas bersara, beliau terus aktif dalam dunia bola sepak sebagai jurulatih, penasihat teknikal dan mentor, membawa pengalaman antarabangsa yang luas serta pemikiran bola sepak yang tajam.

“Usaha yang unik ini, sekiranya berjaya, akan memberi impak yang berkesan kepada persembahan dan pencapaian KDA FC di masa hadapan dan lebih-lebih lagi kepada semua bakal pihak penaja kepada KDA FC khususnya dari luar negara,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasmi kelab itu, di sini, hari ini.
Foto Facebook KDA FC.
Mohd. Daud menambah, keberadaan nama-nama besar dari peringkat antarabangsa dalam KDA FC sudah pasti akan menjadi tarikan media dan lebih penting lagi, memberi keyakinan kepada banyak pihak tentang semangat dan komitmen KDA FC dalam mengharungi musim baru ini.
“Saya difahamkan bahawa Joao Tomas akan turut hadir ke Stadium Darul Aman bersama Ricardo Quaresma pada 3hb Mei 2025 nanti. Jom kita hadirkan diri beramai-ramai untuk menyaksikan perlawanan persahabatan All Star Kedah dengan All Star Malaysia.
“Yang lebih penting lagi, semoga ada beberapa pengumuman penting pada hari perlawanan tersebut tentang barisan pemain dan pegawai KDA FC dari luar negara.
“Jom kita semua support dan bantu KDA FC dengan datang ke stadium beramai-ramai dan juga membuat sumbangan penajaan kepada pasukan KDA FC dalam apa saja bentuk dan jumlah sumbangan. Sudah pasti ada perbezaan ketara antara orang yang hanya bercakap dan yang melakukan suatu tindakan yang membina,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast