PUTRAJAYA- Pempengaruh media sosial, Kim Seri kini sah bergelar isteri kepada jejaka Korea Selatan yang dikenali sebagai Choi Amin.
Perkhabaran gembira itu dikongsikan sendiri oleh Kim Seri atau nama sebenarnya Seri Azlina, 40, menerusi akaun Instagram miliknya dengan memuat naik gambar memaparkan dia menggenggam erat tangan suaminya serta memegang jambangan bunga.
“Dua jiwa. Satu janji. Satu perjalanan. Semoga Allah SWT merahmati perkahwinan ini dan jadikan kami pasangan yang mengikut syariat-Nya,” tulisnya dalam kapsyen romantik.
Dalam satu hantaran lain di IG Story, Kim Seri meluahkan rasa syukur dan turut memohon doa orang ramai agar rumah tangga yang dibina kekal bahagia dan diberkati.
“Ya Allah, berkatilah pasangan ini Choi Amin dan Seri Azlina. Limpahkanlah keberkatan kepada mereka berdua dan kurniakanlah mereka rezeki yang luas, kelegaan dari segala kesusahan serta kebahagiaan dalam hidup mereka,” tulisnya.
Perkongsian tersebut menerima pelbagai reaksi positif daripada para pengikut yang tidak putus-putus mengucapkan tahniah dan mendoakan kebahagiaan pasangan itu.
Sebelum ini, Kim Seri pernah menafikan dakwaan kononnya beliau bercerai semata-mata untuk berkahwin dengan lelaki Korea Selatan, sebaliknya menjelaskan bahawa beliau hanya mengenali Choi Amin selepas beberapa bulan berpisah dengan bekas suami.
Dalam perkembangan lain, Kim Seri turut menjadi perhatian susulan dakwaan beberapa individu menjadi mangsa penipuan melibatkan agensi pelancongan yang dikaitkan dengannya.
Beliau sebelum ini telah membuat permohonan maaf secara terbuka dan berjanji akan memulangkan semula wang pelanggan yang terjejas selewat-lewatnya pada 1 Februari 2025.