KUALA LUMPUR – Seorang lelaki Orang Asli maut selepas kenderaan pacuan empat roda dinaikinya terbabas ke dalam sungai dalam kejadian di kilometer 80, Jalan Gua Musang–Lojing, Kelantan hari ini.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supritendan Sik Choon Foo berkata, mangsa mati selepas tersepit dan lemas.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pukul 3.30 pagi apabila pemandu trak dari arah Blue Valley menghala ke Gua Musang.
“Ketika hujan lebat dan air melintas jalan kenderaan gagal dikawal dan terbabas masuk ke cerun dan jatuh ke dalam sungai.
“Pemandu dan penumpang belakang telah terjun untuk menyelamatkan diri manakala penumpang hadapan lemas dan maut di lokasi kemalangan,” katanya dalam kenyataan.
Kes disiasat di Bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian. – MalaysiaGazette