KUALA LUMPUR – Pemilihan Keadilan (PKR) 2025 kemungkinan besar akan menyaksikan beberapa pemilihan semula peringkat Cabang atas pelbagai alasan dikemukakan oleh rata-rata calon kalah baru-baru ini.
Seorang sumber tertinggi parti yang enggan namanya disebut mendedahkan, setakat ini sekurang-kurangnya sebanyak tiga cabang akan berdepan pemilihan semula dalam kalangan Ketua Cabang.
Kata sumber itu, antara cabang itu termasuklah Selayang, Jempol dan Silam.
“Bagi cabang Selayang, Selangor ini memang ada isu. Difahamkan yang menang ini berdepan isu perundangan yang masih belum selesai.
“Selain itu, adanya aduan tentang kiraan undi oleh salah satu calon yang juga Adun Rawang, Chua Wei Kiat. Jadi permohonan untuk pemilihan semula diadakan bagi peringkat ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Selain itu, difahamkan bagi Jempol pula, salah seorang calon bertanding di cabang Jempol, Negeri Sembilan yang juga Setiausaha Politik Pejabat Presiden PKR, Manivanan Gowin pula tampil membuat aduan bagi pemilihan semula atas alasan ‘angka’ tidak masuk akal.
“Bagi cabang Silam, Lahad Datu pula, Jawatankuasa pemilihan membuat keputusan untuk memberikan peluang bagi pemilhan semula kerana salah seorang calon yang sepatutnya bertanding sudah meninggal dunia nama beliau masih dalam sistem.
“Kekeliruan ini menyebabkan ada pengundi juga mengundi calon meninggal ini. Tarikh akan diumumkan dalam masa terdekat,” ujarnya.
MalaysiaGazette juga difahamkan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) semalam juga difahamkan sedikit ‘tegang’ kerana adanya pihak-pihak tidak berpuas hati dengan pemilihan peringkat cabang baru-baru namun pada masa sama isu-isu berbangkit diselesaikan dengan baik.
Semalam, Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Saleh juga mendedahkan mesyuarat MPP semalam tadi berjalan dengan baik dengan semangat ‘comradeship’ dan setiakawan yang tinggi dalam kalangan ahli MPP yang mana beberapa perkara berhubung isu keanggotaan, disiplin parti, Pemilihan 2025 dan Kongres Nasional 2025 telah dibincangkan. -MalaysiaGazette
Kongres Nasional PKR: Lebih 20,000 perwakilan diunjur mengundi online