KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyelar DAP supaya tidak menjadi sesumpah politik susulan kenyataan Naib Pengerusi Kebangsaannya, Syahredzan Johan mendakwa parti itu tidak mempunyai agenda mengubah asas Perlembagaan Persekutuan.
Ketua Penerangan Bersatu Hulu Langat, Mohamad Shafiq Abdul Halim berkata, kenyataan Syahredzan itu tidak sejajar dengan asas ideologi DAP yang berteraskan prinsip demokrasi sosial dan sekularisme, sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan parti tersebut.
Menurut beliau, secara prinsip, sekularisme tidak menyokong kedudukan istimewa bagi mana-mana agama dan menyokong pemisahan antara agama dengan urusan negara.
Begitu juga, jelasnya, amalan demokrasi sosial yang menekankan prinsip kesaksamaan hak antara kaum tanpa mengiktiraf keistimewaan bagi mana-mana kumpulan etnik.
“Sekiranya DAP tidak lagi berpegang kepada matlamat asal perjuangan mereka, adalah wajar bagi mereka untuk mempertimbangkan nasihat Senator Nur Jazlan Mohamed sebelum ini untuk melakukan perubahan terhadap perlembagaan parti mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Mohamad Shafiq berkata, parti-parti politik di Malaysia tidak seharusnya bertindak seperti sesumpah politik, yang takut untuk mengakui sama ada mereka berpegang kepada falsafah kiri atau kanan.
Jelasnya, untuk mencapai kematangan sebuah negara demokrasi, parti-parti di luar negara yang tidak menyembunyikan pegangan ideologi mereka boleh dijadikan contoh apabila secara terbuka menjelaskan perbezaan dasar, polisi, serta falsafah politik kiri dan kanan kepada rakyat.
“Janganlah terperangkap oleh ketakutan terhadap bayang-bayang sendiri, dan janganlah memakai pelbagai topeng mengikut situasi semata-mata untuk meraih sokongan.
“Pada akhirnya, undi yang diberikan oleh rakyat bukanlah berasaskan pemahaman mereka terhadap matlamat dan perjuangan sesuatu parti, tetapi kerana terpedaya dengan tipu muslihat yang digunakan untuk mengaburi pandangan mereka,” katanya.
Semalam, Syahredzan yang juga Ahli Parlimen Bangi menegaskan tidak timbul langsung apa-apa niat atau agenda DAP untuk mengubah atau meminda perkara-perkara asas dalam Perlembagaan Persekutuan.
Malah, jelas beliau, jaminan itu juga telah berkali-kali dinyatakan pemimpin parti tersebut termasuk yang terbaharu dalam Kongres Kebangsaan DAP ke-18 yang berlangsung bulan lalu.
Kenyataan Syahredzan itu susulan laporan media yang memetik Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menjelaskan DAP tidak akan dapat meminda Perlembagaan Persekutuan walaupun dengan 148 kerusi Parlimen. – MalaysiaGazette