KAJANG – Anak kedua Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berjaya memperoleh keputusan cemerlang 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang diumumkan hari ini.
Fadhlina berkongsi kegembiraan itu selepas melakukan tinjauan penyerahan keputusan SPM 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Kajang di sini.
“Saya pun gembira, anak saya dapat keputusan hari ini, Alhamdulillah… 8A,” katanya kepada media sambil bersyukur.
Ahli Parlimen Nibong Tebal itu sempat meluangkan masa lebih satu jam di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang di sini untuk menemani anaknya itu mengambil keputusan sebelum datang ke SMK Convent Kajang.
Menerusi hantaran di Facebook miliknya pula, Fadhlina turut mengucapkan tahniah buat semua pelajar yang mengambil keputusan SPM 2024 hari ini.
Beliau turut mengucap terima kasih kepada anaknya yang dipanggil Sarah atas keputusan cemerlang itu.
“Because we love you and we make doa for you! Tahniah buat semua anak-anak yang mengambil keputusan SPM pada hari ini. Khususnya buat anaknda kesayangan kami, Sarah.
“Kesyukuran kami panjatkan kepada Allah SWT untuk nikmat ini. Pastinya kerana usaha Sarah yang sentiasa bersungguh-sungguh dalam pelajarannya.

“Untuk Sarah, tetima kasih atas keputusan cemerlang ini. Mama dan Baba pulangkan kepada Sarah untuk pilihan langkah selanjutnya. Nampak gaya jika tidak pengajian Islam/ syariah pastilah undang-undang. Macam Mama dan Baba juga!
“Terima kasih buat semua guru/asatizah yang mendidik Sarah. Begitu juga sahabat -sahabat karib Sarah yang sentiasa bersama Sarah dalam perjalanan ilmu ini. Begitu juga ahli keluarga kami yang sentiasa,” tulisnya.
Tahun lalu, anak sulungnya yang belajar di Sekolah Menengah Agama (SMA) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) turut memperoleh keputusan cemerlang dengan 9A 2B dalam SPM.
Ketika mengumumkan analisis keputusan SPM 2024, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan berkata, ia merekodkan pencapaian terbaik sejak 2013, dengan mencatat Gred Purata Kebangsaan (GPK) 4.49 berbanding 4.60 pada 2023.
Menurutnya, bilangan calon mendapat sekurang-kurang kepujian atau Gred C dalam semua mata pelajaran pada 2024, turut meningkat kepada 86,040 orang berbanding 83,112 pada 2023. – MalaysiaGazette