JOHOR BAHRU- Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir akan mengemuka bantahan kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) selepas gagal mempertahankan jawatan sebagai Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor Bahru pada Ahad lalu.
Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, tindakan tersebut diambil kerana keputusan awal menunjukkan beliau memperoleh 949 undi berbanding 587 undi diterimanya selepas keputusan rasmi diumumkan.
Beliau mempertahankan menerima 949 undi yang diterimanya selaku calon Ketua PKR Cabang Johor Bahru, Ahad lalu.
“Seperti yang pernah saya kongsikan (keputusan awal dalam Facebook miliknya), angka-angka ini bukan sekadar anggota yang mengundi berdasarkan GOTV (Get Out The Voters) malah bukti pengundian dan sokongan telah direkodkan secara jelas.
“Angka ini disokong oleh Borang 14 yang telah diperakukan oleh Ketua Tempat Mengundi, senarai pengundi beserta tandatangan pengakuan dan bukti bergambar.
“Oleh itu, seorang pasukan saya yang mengetuai operasi pada hari pengundian telah membuat akuan bersumpah (Statutory Declaration) bagi mempertahankan jumlah undi sekurang-kurangnya 949 undi yang diterima saya, Ahad lalu,” ujarnya.
Perkara tersebut diluahkan beliau selepas gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang PKR Johor Bahru yang disandangnya pada pemilihan peringkat cabang Ahad lalu.
Ahad lalu, Akmal Nasrullah tewas tewas kepada Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Mohamad Taufiq Ismail, bagi perebutan jawatan berkenaan
Akmal hanya memperoleh 587 undi, sekali gus tewas Mohamad Taufiq yang meraih 709 undi.
Keputusan tersebut mengejutkan ramai penyokong Akmal Nasrullah, kerana sebelum itu dalam hantaran melalui Facebook miliknya, Akmal Nasrullah memberi bayangan mendahului jumlah undi.
Dalam hantaran itu, Akmal Nasrullah turut kongsikan satu infografik yang direkodkan sebagai keputusan tidak rasmi.
Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah menerusi hantaran tersebut turut membangkitkan isu yang timbul sepanjang proses tersebut.
“Cabang Johor Bahru tidak terkecuali dari kejadian fenomena ‘badan tanpa kepala’.
“Majoriti Ahli Jawatankuasa (AJK) Cabang yang menang iaitu 10 orang adalah daripada pasukan kami.
“Kejadian ajaib juga berlaku untuk AMK iaitu hanya ‘kepala’ Ketua AMK yang ‘dipenggal’ sedangkan Timbalan hingga semua AJK AMK menang manakala sayap Wanita pula jawatan Ketua dan Timbalan diganggu sedangkan Naib dan AJK (Ahli Jawatankuasa) pasukan Akmal Nasir menang,” katanya.- MalaysiaGazette