KUALA LUMPUR – Pengamal media diseru supaya mengekalkan prinsip kewartawanan beretika, mengutamakan fakta, menolak spekulasi dan meneliti sumber sebelum menerbitkan laporan.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, ini kerana berita palsu boleh mencemarkan imej institusi dan melemahkan keyakinan rakyat.
Malah katanya, berita palsu juga berisiko menggagalkan apa juga usaha pembaharuan.
“Oleh itu, media arus perdana bersama dengan portal berita yang kredibel harus menjadi tonggak utama dalam memastikan ketepatan maklumat sampai kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Anugerah Media SPRM Kali Ke-5 Tahun 2024.
Terdahulu menurut Azam, salah satu teras penting dalam pencegahan rasuah ialah menutup ruang dan peluang yang boleh dimanipulasi bagi tujuan rasuah.
Ujarnya, usaha itu dimainkan Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) di bawah agensi tersebut.
“BPT bertanggungjawab meneliti sistem dan prosedur di pelbagai organisasi kerajaan serta swasta bagi mengenal pasti kelemahan dalam tadbir urus yang boleh dimanipulasi untuk rasuah dan salah guna kuasa.
“Sebagai contoh, SPRM melalui BPT telah menjalankan pemeriksaan dan memberi khidmat nasihat ke atas proses perolehan dan tadbir urus dalam beberapa kementerian, agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Ini bertujuan memastikan amalan, sistem dan tatacara kerja adalah telus dan mematuhi piawaian ketat, sekali gus mencegah salah laku daripada berlaku di masa depan,” tambahnya.
Sementara itu Azam berkata, masih ramai masyarakat yang menganggap agensi tersebut hanya tertumpu kepada siasatan dan operasi menangkap pesalah rasuah semata-mata.
Namun ujarnya, fungsi sebenar SPRM jauh lebih luas, merangkumi langkah pencegahan (preventive measures) dan pendidikan masyarakat (public education) yang dijalankan secara sistematik dan menyeluruh. – MalaysiaGazette