Gambar hiasan.

MUAR – Hasrat seorang pesara guru untuk mendapat keuntungan berganda daripada wang simpanan dalam skim pelaburan atas talian tidak kesampaian apabila diperdaya RM189,199.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, insiden itu bermula apabila mangsa iaitu seorang wanita berusia 66 tahun tertarik dengan iklan pelaburan yang menguntungkan sebelum dimasukkan dalam satu kumpulan WhatsApp.

“Mangsa kemudian dihubungi seorang individu melalui aplikasi WhatsApp yang merupakan salah seorang pelabur dalam kumpulan pelaburan berkenaan.

“Wanita tersebut kemudian ditawarkan membuat pelaburan dan diberikan penerangan bagaimana untuk melabur, jumlah modal dan keuntungan yang bakal diperolehi,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, mangsa dijanjikan dengan keuntungan sebanyak 6.1 peratus hingga hingga 12.9 peratus daripada wang modal yang dilaburkan.

Katanya, mangsa yang berminat dengan tawaran dan pulangan menguntungkan telah membuat 23 transaksi pindahan wang ke dalam satu akaun bank atas satu syarikat sebanyak RM189,199 pada 17 Februari lalu.

Raiz Mukhliz berkata, mangsa diberikan satu pautan untuk menyemak keuntungan dan mendapati pulangan pelaburan sebanyak RM956,016.84 telah dimasukkan seperti mana yang dijanjikan.

Tambahnya, bagi menebus pulangan pelaburan mangsa diminta membayar RM150,000 dan keadaan itu membuatkan mangsa curiga dan cuba menghubungi individu yang menawarkan pelaburan berkenaan namun gagal.

“Mangsa mengalami kerugian RM189,199 yang mana merupakan wang simpanannya. Kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara satu hingga 10 tahun dengan sebatan dan denda,” ujarnya.

Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran yang sukar dipercayai dan mengambil langkah berhati-hati terutama dalam urusan melibatkan transaksi kewangan.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here