Majlis menandatangani perjanjian antara FatHopes Energy Sdn Bhd dan Bin Zayed International berlangsung di Exchange 106 di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Konglomerat pelaburan global, Bin Zayed International (BZI) dan FatHopes Energy (FHE) mengumumkan perkongsian strategik  membangunkan loji penapisan bahan api penerbangan mampan (SAF) berskala dunia.

Ia dalam usaha untuk meningkatkan peranan Malaysia dalam sektor tenaga bersih global.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kerjasama  BZI dengan syarikat perintis biofuel itu mampu mengubah permainan untuk sektor tenaga dan penerbangan di negara ini sebagai pemangkin kepada transformasi yang meluas.

Menurut beliau, ia juga menandakan kehadiran Malaysia sebagai pemain yang serius dalam tenaga bersih global dan ekonomi rendah karbon di rantau ini.

“Kerjasama ini meletakkan negara kita sebagai peneraju dalam bahan api penerbangan bersih sejajar dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional dan peranan kita sebagai Pengerusi ASEAN.

“Ia mencerminkan komitmen kerajaan yang semakin mendalam terhadap kemampanan dan inovasi dan juga menunjukkan bagaimana pelaburan strategik yang diterajui oleh sektor swasta boleh mempercepatkan penyahkarbonan industri, mengukuhkan keupayaan domesti, dan menyokong matlamat iklim ASEAN secara kolektif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pengumuman kerjasama kedua-dua syarikat itu di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Urusan, BZI (Malaysia) Berhad Datuk Seri Dr Shamir Kumar Nandy dan Ketua Pegawai Eksekutif FHE, Vinesh Sinha.

Pembangunan loji penapisan itu bakal disokong oleh sistem digital FHE yang berperanan sebagai tulang belakang dalam menjamin keterkesanan (traceability) bahan mentah secara menyeluruh dan telus.

Pendekatan teknologi menyeluruh daripada titik asal bahan mentah, sokongan belakang (backend) hingga kepada rangkaian logistik membolehkan pengurusan proses yang cekap serta berintegriti dari aspek kelestarian alam sekitar.

Sistem keterkesanan digital itu telah diperkenalkan FHE sejak 2018, menerusi penggunaan teknologi berasaskan web dan aplikasi mudah alih pada peringkat operasi.

Sementara itu,  Shamir berkata, kerajaan itu akan melibatkan dengan anggaran pelaburan AS$500 juta (RM2.39 bilion) di mana acara pecah tanah dijangka menjelang 2026 sebelum operasi komersial bermula pada 2029.

“Kami sedang menaja jamin keseluruhan jumlah itu buat masa ini sendiri dan berdasarkan penemuan dan kemas kini oleh FatHopes, mereka sedang dalam proses mendapatkan kelulusan dan kebenaran yang diperlukan sebelum pembinaan dimulakan

“Jadi saya percaya itu akan mencapai tempoh satu tahun lagi iaitu kira-kira 12 bulan daripada  hari ini,” katanya.

Vinesh pula berkata, loji itu disasarkan mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 300,000 tan setahun di mana sumber utamanya akan terdiri daripada sisa dan bahan buangan termasuk minyak sisa daripada sektor runcit dan komersial. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here