KUALA LUMPUR – Satu notis tuntutan terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi diserahkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini.
Tuntutan itu dikemukakan Dr Mahathir satu susulan kenyataan berunsur fitnah yang didakwa mencemarkan nama baik beliau.
“Tuntutan tersebut adalah berkenaan kata-kata fitnah yang dituturkan dan/atau diterbitkan dan/atau diucapkan oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi terhadap Tun Dr. Mahathir bin Mohamad berkenaan kononnya keengganan anakguam kami melepaskan pegangan amanahnya pada hartanah UMNO,” kata notis tuntutan terbabit.
Menurut peguam Dr Mahathir, Rafique Rashid kenyataan tersebut adalah tidak benar, bersifat fitnah dan bertujuan menjatuhkan reputasi beliau di mata rakyat.
Dalam tuntutan tersebut, Dr Mahathir menuntut agar Ahmad Zahid mengadakan satu sidang media terbuka di Ibu Pejabat UMNO dan juga di Pejabat Timbalan Perdana Menteri dengan kehadiran media arus perdana dan media sosial bagi mengakui kenyataan dibuat pada 11 April 2025 adalah satu pembohongan serta memohon maaf secara terbuka tanpa syarat.
Selain itu, Ahmad Zahid turut dituntut untuk menghantar permohonan maaf secara bertulis kepada Dr Mahathir dalam tempoh tujuh hari dari tarikh notis disertakan akujanji beliau dan mana-mana pihak berkaitan tidak akan mengulangi atau menerbitkan sebarang kenyataan lanjut yang boleh mencemar nama baik bekas Perdana Menteri itu.
“Datuk Seri hendaklah menyiarkan permohonan maaf secara terbuka dan secara bertulis di dalam akhbar-akhbar berita dan juga di semua platform media sosial rasmi Datuk Seri dan kekalkan siaran tersebut untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga puluh hari berturut-turut,” demikian menurut notis berkenaan.
Dalam pada itu, sekiranya tuntutan itu tidak dipenuhi dalam tempoh yang ditetapkan, pihak Dr Mahathir tidak menolak kemungkinan akan mengambil tindakan undang-undang selanjutnya terhadap Ahmad Zahid dan mana-mana pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam penyebaran dakwaan tersebut.
UMNO pada 11 April lalu mendakwa Dr Mahathir enggan melepaskan pegangan dalam hak pemilikan geran tanah milik parti itu di Lot 40 Seksyen 51, Bandar Kuala Lumpur.
Menurut Ahmad Zahid, meskipun surat guaman parti telah diserahkan kepada Dr Mahathir namun beliau didakwa enggan menandatanganinya.
Sebelum ini media melaporkan UMNO telah memfailkan saman pemula pada 6 Mac lepas bagi mendapatkan pengishtiharan supaya sebidang tanah di ibu kota berkeluasan 9,723 meter persegi dipindah milik kepada parti itu.
Dalam saman itu, UMNO memohon satu perintah bahawa pemilik geran 78154, Lot 40 Seksyen 51, Bandar Kuala Lumpur yang didaftarkan atas nama pemegang-pemegang amanah iaitu Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Tun Musa Hitam, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Allahyarham Tan Sri Sanusi Junid dipindahkan kepada UMNO mengikut Fasal 27.1 Perlembagaan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu dan Seksyen 9 Akta Pertubuhan 1966.
Mahkamah menetapkan 2 Mei depan untuk pengurusan kes selanjutnya. – MalaysiaGazette