KUALA LUMPUR – Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) mengecam keras kenyataan seorang pimpinan Dewan Pemuda Pas yang didakwa memperlekehkan ibadah haji ketika berceramah sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Ucapan individu tersebut dianggap mempersendakan Rukun Islam kelima dengan menyebut ‘babi bukan haji’ .
Ia disifatkan sebagai satu penghinaan terhadap syariat Islam dan bukti bagaimana agama digunakan secara sempit demi keuntungan politik.
Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Danial Al Rashid berkata, kenyataan itu bukan sahaja memalukan malah mencerminkan kerosakan akhlak politik apabila lidah pemimpin digunakan untuk memperdagangkan agama bagi meraih kuasa.
“Haji adalah kewajipan fardu ain ke atas setiap Muslim yang mampu. Ia bukan suatu pilihan yang boleh ditangguhkan semata-mata untuk bertanding dalam pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Danial turut menegaskan dengan menyamakan ibadah haji dengan isu daging babiĀ untuk berkempen adalah satu bentuk penghinaan terhadap ilmu dan kesucian agama.
“Rakyat tidak seharusnya membiarkan agama dipermainkan oleh golongan yang kononnya memperjuangkannya dan kempen politik sepatutnya menjunjung adab, akhlak serta dasar yang membina.
“Kita menyeru para pengundi di Ayer Kuning dan seluruh umat Islam agar menolak politik berasaskan perkauman, penghinaan serta putar belit agama demi kuasa,” ujarnya lagi.
Tegasnya, politik perlu dikembalikan kepada prinsip maqasid syariah yang sebenarĀ iaitu berteraskan keadilan, ilmu, maruah dan maslahat rakyat.
“Agama bukan alat kuasa tetapi politik mesti tunduk kepada akhlak dan kebenaran,” katanya. – MalaysiaGazette