KUALA LUMPUR – Parti Gerakan telah membuat laporan polis terhadap Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) susulan kesilapan memaparkan bendera Malaysia versi salah dalam hantaran sempena pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Pemangku Ketua Pemudanya, Lee Boon Shian mempersoalkan siapa yang akan bertanggungjawab apabila sebuah kementerian kerajaan tersilap memaparkan Jalur Gemilang dalam hantaran rasmi.
Apa yang lebih mengejutkan, kata beliau, imej itu dipercayai dihasilkan melalui teknologi kecerdasan buatan (AI), namun tetap disiarkan secara rasmi oleh kementerian tanpa semakan sewajarnya.
“Ini bukan sekadar kesilapan grafik. Ini adalah soal maruah negara.
“Jalur Gemilang adalah simbol kedaulatan dan perpaduan kita. Bila kementerian sendiri cuai, itu satu kelalaian yang amat serius,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan mengapa tiada sebarang kenyataan rasmi atau tindakan bertanggungjawab diambil, sedangkan dalam insiden serupa melibatkan akhbar Sin Chew baru-baru ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) segera mengeluarkan kenyataan keras.
“Mereka (Sin Chew) entiti swasta, dan dua orang editor utama meletak jawatan sebagai tanda bertanggungjawab.
“Kini, bila ia berlaku dalam KPM — adakah Menteri Pendidikan akan tampil? Atau Ketua Pengarah Pendidikan?” soalnya.
Lantaran itu, Pemuda Gerakan menuntut ketelusan dan tindakan tegas diambil, tanpa pilih kasih, selaras dengan prinsip akauntabiliti yang sering dilaungkan kerajaan.
“Jika rakyat biasa dan media dikenakan tindakan, kementerian juga tidak boleh dikecualikan. Ini soal keadilan yang konsisten,” tambahnya.
Boon Shian turut mengingatkan Jalur Gemilang bukan milik mana-mana pihak, sebaliknya milik seluruh rakyat Malaysia yang wajib dihormati tanpa kompromi. – MalaysiaGazette