KUALA LUMPUR – Pelaksanaan hari rehat mingguan (HRM) bagi anggota bomba yang dijadualkan bermula 1 Mei ini tidak sepatutnya ditangguhkan.
Sehubungan itu, Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) supaya membatalkan penangguhan pelaksanaan HRM bagi memastikan kesejahteraan anggota bomba yang berkorban memastikan keselamatan rakyat dan negara.
Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat berkata, anggota bomba sehingga kini masih terikat dengan waktu bekerja 60 jam seminggu berdasarkan penjadualan norma sedia ada.
Sedangkan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) melalui ceraian SR 4.4.1 memperuntukkan waktu bekerja asas bagi penjawat awam adalah 45 jam seminggu.
Tegas beliau, pelaksanaan HRM adalah satu bentuk pengiktirafan bukan hanya dari segi kebajikan, malah memberi peluang anggota mendapat rehat secukupnya tanpa perlu menggunakan cuti tahunan bagi keperluan peribadi dan keluarga.

“Keadaan ini jauh berbeza dan memberi tekanan kepada anggota bomba memandangkan mereka bertugas selama 12 jam setiap syif tanpa rehat yang sempurna.

Beliau yang kecewa dengan penangguhan itu turut menyuarakan kebimbangan terhadap kadar elaun Bayaran Insentif Bomba (BIB) sebanyak RM110.
Jelasnya, jika dihitung berdasarkan beban kerja anggota bomba, jumlah itu hanya bersamaan kira-kira RM1.38 sejam.
“Angka ini terlalu rendah dan tidak munasabah jika dibandingkan dengan risiko tugasan serta tekanan kerja harian yang mereka hadapi.
“Kita tidak boleh terus menutup mata terhadap hakikat ini. Kebajikan mereka perlu diberi perhatian yang adil dan berpatutan,” katanya.
Adnan berkata, pelaksanaan HRM tidak membabitkan sebarang penambahan peruntukan kewangan daripada kerajaan, sebaliknya hanya memerlukan penambahbaikan kepada sistem pengurusan sumber manusia yang lebih cekap dan berperikemanusiaan.
“Ini bukan soal kos, ia soal keprihatinan dan kemanusiaan. Ia adalah keputusan pentadbiran yang boleh dilaksanakan dengan perancangan sumber manusia yang lebih baik.
“Sehubungan itu, CUEPACS menggesa JPA membatalkan penangguhan itu dan menyegerakan pelaksanaan HRM seperti dipersetujui sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata, anggota bomba adalah benteng pertama ketika rakyat berdepan musibah dan sudah tiba masanya pengorbanan mereka dihargai dengan tindakan yang nyata serta bermakna. -MalaysiaGazette