PUTRAJAYA – Sebuah kompleks sukan berprestasi tinggi bakal dibina di Putrajaya dalam usaha memperkasa pembangunan atlet Wilayah Persekutuan susulan pencapaian cemerlang kontinjen wilayah itu pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) baru-baru ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, idea penubuhan kompleks ini tercetus selepas menyaksikan peningkatan prestasi atlet Wilayah Persekutuan sepanjang Sukma di Sarawak.
Hasil perbincangan di peringkat pengurusan tertinggi, Putrajaya dikenal pasti sebagai lokasi paling sesuai untuk pelaksanaan projek berkenaan.
“Selepas kita balik daripada Sukma, Sarawak tempoh hari dan kita melihat prestasi atlet-atlet wilayah sangat memberangsangkan.
“Maka kita berbincang dan datang dengan idea untuk mendirikan kompleks sukan. Putrajaya adalah tempat yang sangat sesuai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyampaian Bantuan Amadani kepada badan sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, di sini, hari ini.
Menurut Zaliha, projek tersebut kini dalam fasa perbincangan dengan pihak berkepentingan termasuk Putrajaya Holdings dan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS).
“Ini adalah untuk memperincikan keperluan serta ciri-ciri kompleks sukan yang bakal dibangunkan di Presint 13, Putrajaya.
“Perdana Menteri telah dimaklumkan mengenai cadangan ini dan menyambut baik inisiatif tersebut,” tambahnya.
Kompleks itu dijangka bukan sahaja menjadi pusat pembangunan atlet berprestasi tinggi, tetapi turut menyediakan kemudahan untuk melatih dan membangunkan atlet pelapis di peringkat akar umbi.
“Inisiatif ini kita harap bukan sahaja melahirkan atlet berprestasi tinggi, tetapi juga membantu atlet-atlet sukan dari wilayah ini secara menyeluruh,” ujarnya. – MalaysiaGazette