ALOR GAJAH – Seorang lelaki diburu polis kerana disyaki memukul adik iparnya di Kampung Pantai Kuala Sungai Baru, di sini, Rabu lalu.
Menurut sumber, kejadian kira-kira jam 12.40 tengah hari itu berpunca apabila mangsa, wanita berusia 28 tahun terlihat kereta miliknya digunakan abang iparnya itu tanpa kebenaran.
“Pengadu kemudian mengambil kunci keretanya namun dihalang suspek yang terus memarahi serta menampar pipi kirinya berkali-kali sehingga mengalami bengkak di kedua belah bawah mata dan pipi.
“Mangsa kemudian ke Hospital Alor Gajah untuk pemeriksaan dan doktor mengesahkan kecederaan bengkak dialami sebelum membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan dirinya,” katanya.

Menurut sumber, sebelum itu wanita berkenaan menumpang meletakkan keretanya itu di rumah ibu mentua yang terletak berhampiran dengan rumahnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan/ 18A Akta Keganasan Rumah Tangga.
“Suspek yang merupakan pesakit mental masih melarikan diri dan usaha mengesannya sedang giat dilakukan,” katanya. – MalaysiaGazette