KUALA LUMPUR – Pengulas konservatif Amerika Syarikat (AS), Bill O’Reilly sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila membandingkan pendapatan per kapita isi rumah Malaysia dengan negaranya.
O’Reilly mendakwa pendapatan per kapita isi rumah di Malaysia adalah sekitar AS$5,731 (RM25,061) setahun, jauh lebih rendah berbanding AS yang mencatatkan AS$42,220 (RM184,628) setahun.
“Angka itu menunjukkan perbezaan sebanyak lapan kali ganda (dan) Malaysia marah pada saya, ini cerita tidak masuk akal,” katanya dalam satu hantaran di laman sosial TikTok.
Dalam video yang sama, O’Reilly secara sinis mengakui dirinya sebagai seorang ‘penjajah’ sebagai menjawab komen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepadanya.
Sebelum itu, O’Reilly mendakwa Malaysia sebagai sebuah negara yang miskin.
Kenyataan itu dikecam Anwar dan menyifatkan O’Reilly sebagai angkuh dan jahil selepas mengeluarkan kenyataan bahawa Asia Tenggara ‘tiada wang’.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pandangan tersebut bukan sahaja tidak berasas malah mencerminkan mentaliti sempit yang didorong oleh ideologi kolonial dan sentimen perkauman. – MalaysiaGazette