Aaron Ago Dagang

KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntukan sebanyak RM1 juta untuk kempen Baucar Buku Semarak Membaca 2025 dalam usaha memupuk dan memperkasa budaya membaca dalam kalangan masyarakat.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, insentif itu bertujuan untuk membantu masyarakat dalam pembelian bahan-bahan ilmiah serta menggalakkan perbelanjaan domestik bagi merancakkan lagi industri perbukuan negara.

Katanya, Kerajaan Madani sentiasa komited dalam usaha untuk meringankan beban rakyat terutamanya dalam aspek pendidikan dan akses kepada sumber ilmu.

“Kempen ini merupakan inisiatif oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dengan kerjasama antara Persatuan Penerbit Buku Malaysia, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Persatuan Penjual Buku Malaysia dan Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Aaron Ago, pihak kementerian turut berterima kasih kepada platform Shopee sebagai rakan e-dagang rasmi PNM.

Ujarnya, melalui jalinan kerjasama itu, Shopee bersetuju untuk memudahkan penebusan baucar, memperluas akses kepada buku berkualiti dengan harga mampu milik dan menyumbangkan baucar Shopee Live bagi menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia membeli buku.

“Usaha murni ini boleh menjadi contoh kepada syarikat-syarikat lain bagi membentuk budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia,” ujarnya.

Bagi permohonan baucar buku tersebut, ia boleh ditebus di Pesta Buku Negeri yang terlibat dan boleh dirujuk di laman web https://semarakmembaca.com/

Baucar RM10 hanya boleh ditebus oleh seorang sahaja dengan perbelanjaan minimum RM20 ke atas bagi buku tempatan.

Penebusan baucar buku tersebut boleh dibuat bermula dari 22 April sehingga 31 Disember 2025. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here