KUALA LUMPUR – Petronas Gas Bhd. (PGB) menyambung semula operasi di Puchong City Gate sekali gus membolehkan pihak penghantar menyediakan bekalan gas kepada kawasan yang terasing.
Untuk rekod, operasi PGB terjejas di kawasan tersebut akibat insiden kebakaran besar saluran paip gas di Putra Heights, 1 April lalu.
“Sedar mengenai peranan pentingnya sebagai pengangkut gas, PGB terus mengekalkan kepantasan dalam menjalankan kerja-kerja pemulihan di lokasi insiden.
“Pada masa yang sama, PGB sedang meneroka kaedah untuk meningkatkan kapasiti bekalan sambil mengekalkan integriti sistem saluran paip,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah PGB, keselamatan orang awam dan operasi syarikat itu kekal sebagai keutamaan, dan ia akan bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan dalam siasatan insiden serta menyokong inisiatif kerajaan untuk membangunkan semula komuniti yang terjejas.
“Dengan sokongan dan pemahaman daripada para pemegang taruh, PGB akan meneruskan usaha untuk memulihkan akses kepada bekalan gas secara berperingkat,” ujarnya lagi. -MalaysiaGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL