GEORGE TOWN – Polis telah mengenal pasti penunggang motosikal yang menyebabkan kemalangan membabitkan empat kenderaan sehingga meragut nyawa seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun di Jalan Masjid Negeri, di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Abdul Rozak Muhammad berkata, kejadian berlaku kira-kira 5.15 petang ketika mangsa yang menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Gelugor dari sekolah di Batu Lanchang.
“Apabila melalui tempat kejadian, tiba-tiba sebuah motosikal yang lain dari arah kiri telah terlanggar motosikal mangsa.
“Impak daripada perlanggaran itu, mangsa bergesel dengan sebuah kereta di sebelah kanan lalu terjatuh ke laluan kiri sebelum dirempuh sebuah lori,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang cedera parah dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan pada 6.09 petang.
Individu lain yang terlibat dalam kemalangan itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan pihaknya akan menahan penunggang motosikal terbabit untuk siasatan lanjut, katanya.
Terdahulu, rakaman video memaparkan kemalangan itu tular di media sosial dan menerima pelbagai reaksi warganet. – Bernama