KUALA LUMPUR – Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PSKL 2040) kini berada pada fasa akhir sebelum diwartakan secara rasmi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, PTKL 2040 telah siap dan perwartaan hanya menanti kelulusan daripada Perdana Menteri sebelum melalui proses penilaian oleh Majlis Tindakan Ekonomi Negara (EAC).
“Manakala bagi Pelan Struktur Kuala Lumpur (PSKL) 2040 sebenarnya dah diwartakan, lama dah. Cuma menunggu sekarang ialah Pelan Tempatan Kuala Lumpur (PTKL) 2040, yang itu insya-Allah di peringkat akhir sebelum dibentangkan kepada Perdana Menteri.
“Selepas itu insya-Allah melalui proses EAC dan seterusnya kita boleh wartakan, insya-Allah harapnya dalam masa yang terdekat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyampaian Bantuan Amadani kepada badan sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, di sini, hari ini.
Sebelum ini, proses pewartaan PSKL 2040 ditangguhkan bagi membolehkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan sesi libat urus tambahan bersama pelbagai pihak berkepentingan.
Penangguhan itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menegaskan kepentingan mendapatkan maklum balas menyeluruh daripada rakyat dan pemegang taruh sebelum sebarang pelan dimuktamadkan.
DBKL kemudian mengadakan beberapa siri libat urus awam bagi meneliti dan meminda draf pelan berkenaan, termasuk menyentuh isu-isu perumahan mampu milik, kemudahan awam, pembangunan hijau dan kesejahteraan bandar.
PSKL 2040 merupakan dokumen perancangan jangka panjang bagi pembangunan ibu negara yang menetapkan hala tuju strategik Kuala Lumpur bagi tempoh dua dekad akan datang.
Ia menjadi asas kepada PTKL 2040 yang akan memandu pembangunan fizikal, sosial dan ekonomi bandar raya ini. – MalaysiaGazette