KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menahan dua lelaki yang dipercayai menjadi dalang dalam sindiket pengedaran bunga ganja bernilai RM2.64 juta untuk pasaran Eropah.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata, serbuan secara berperingkat dilakukan hasil risikan di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang, kelmarin membawa kepada rampasan 75.51 kilogram (kg) bunga ganja.
Menurutnya, operasi risikan yang dijalankan sejak awal tahun membongkar modus operandi sindiket yang menyewa rumah atau inap desa dengan kadar harian RM180 untuk dijadikan lokasi penyimpanan dadah sebelum dihantar ke pasaran gelap.
“Dua suspek yang ditahan merupakan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun dan seorang warga China berumur 38 tahun.
“Tangkapan pertama dilakukan sekitar jam 5.25 pagi di sebuah kedai kopi di Sepang, diikuti tangkapan kedua kira-kira sejam kemudian di sebuah rumah di Kota Warisan, Sepang.
“Pemeriksaan lanjut di sebuah rumah sewa di Bukit Changgang, Banting membawa kepada penemuan 144 bungkusan plastik lutsinar mengandungi ketulan disyaki bunga ganja yang disorokkan dalam bilik utama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, dadah yang dirampas itu berpotensi menjejaskan sehingga 151,000 pengguna sekiranya terlepas ke pasaran.
Selain itu, sejumlah wang tunai dalam pelbagai mata wang berjumlah RM25,327 turut disita di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, menjadikan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan mencecah RM2.67 juta.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek bebas daripada pengaruh dadah, manakala semakan latar belakang tidak menemui sebarang rekod jenayah lampau.
“Status kemasukan suspek warga China itu ke negara ini juga sedang disiasat,” katanya.
Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.
Menurut Mat Zani, JSJN kini giat mengesan saki-baki ahli sindiket yang masih bebas bagi melumpuhkan rangkaian ini sepenuhnya.
“Rampasan ini membuktikan keberkesanan risikan berterusan pihak polis dalam memerangi ancaman dadah yang terus menjadi musuh utama negara,” tegasnya.
Sehubungan itu, orang ramai diseru menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah menerusi talian hotline JSJN di 012-208 7222. – MalaysiaGazette