Lpangan terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Bangkok, Thailand. Foto: Twitter Bangkok Airport

BANGKOK – Thailand memperkenalkan peraturan baharu berkaitan cara pelancong membawa cecair, gel dan aerosol (LGA) dalam bagasi tangan di semua lapangan terbang awam di seluruh negara.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Thailand (CAAT) telah menerbitkan garis panduan terkini ini dalam Warta Diraja pada Selasa (22 April), berkuat kuasa serta-merta.

Peraturan ini, yang secara rasmi bertajuk “Pengumuman Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Thailand Mengenai Peraturan Pemeriksaan Cecair, Gel dan Aerosol untuk Dibawa ke Dalam Pesawat atau ke Kawasan Terhad Lapangan Terbang Awam, B.E. 2568 (2025),” menggantikan peraturan terdahulu yang dikeluarkan pada 2019.

Arahan daripada CAAT, yang dikeluarkan oleh pengarahnya, Ketua Marsyal Udara Manat Chavanaprayoon, berlandaskan protokol keselamatan lapangan terbang sedia ada.

Ia menetapkan bahawa semua LGA yang dibawa ke dalam pesawat oleh penumpang, kru atau kakitangan lapangan terbang mesti menjalani pemeriksaan keselamatan secara menyeluruh.

Pengumuman tersebut menjelaskan definisi “cecair, gel dan aerosol”, yang merangkumi pelbagai barangan termasuk minuman dan sos, kosmetik, kelengkapan mandian serta bekas bertekanan seperti semburan dan buih. Malah bahan yang mempunyai elemen cecair dan pepejal, seperti maskara dan pelembap bibir (lip balm), turut tertakluk kepada peraturan ini.

Pengendali lapangan terbang kini bertanggungjawab untuk melaksanakan prosedur pemeriksaan ini bagi semua LGA yang dibawa masuk ke kabin pesawat atau kawasan terhad lapangan terbang.

Di bawah peraturan baharu ini:

  • Setiap bekas LGA tidak boleh melebihi 100 mililiter dan mesti disimpan dalam bekas dengan kapasiti yang sama, walaupun hanya separuh penuh.
  • Penumpang dibenarkan membawa beberapa item, asalkan jumlah keseluruhannya tidak melebihi satu liter setiap orang.
  • Pihak berkuasa lapangan terbang juga boleh mewajibkan penumpang untuk menyimpan semua item tersebut dalam satu beg plastik lut sinar yang boleh ditutup semula, terhad kepada satu beg seorang.
  • Beg ini akan diperiksa secara berasingan daripada bagasi tangan lain dan tidak akan dikira sebagai sebahagian daripada elaun bagasi kabin syarikat penerbangan.

Pengendali lapangan terbang diarahkan untuk melakukan pemeriksaan berasingan ke atas LGA ini di pusat pemeriksaan keselamatan, kecuali jika terdapat teknologi pengimbasan canggih seperti pengimbas sinar-X yang mampu mengesan item ini.

Namun, beberapa pengecualian turut diberikan:

Ubat-ubatan: Ubat penting yang disertakan dengan surat doktor, label preskripsi, atau dokumen rasmi dengan nama penumpang dikecualikan. Ini termasuk makanan atau susu bayi dan makanan khas berkaitan keperluan perubatan, dalam jumlah yang munasabah untuk tempoh penerbangan, tertakluk kepada pemeriksaan di pusat keselamatan.

Kru dan Kakitangan Bertugas: Kru penerbangan dan kakitangan penting lain dibenarkan membawa LGA untuk kegunaan peribadi dalam jumlah munasabah sepanjang waktu bertugas, tertakluk kepada pemeriksaan keselamatan.

Kakitangan Lapangan Terbang dan Kecemasan: Kakitangan lapangan terbang yang diberi kuasa untuk memasuki kawasan terhad, serta anggota pasukan kecemasan, boleh membawa LGA yang diperlukan bagi tugasan mereka, tertakluk kepada pemeriksaan.

Pembelian di Kedai Bebas Cukai (Duty-Free): LGA yang dibeli di kedai bebas cukai lapangan terbang atau di dalam pesawat dibenarkan, dengan syarat ia dimeterai dalam beg keselamatan yang tidak boleh diusik (STEB) serta disertakan bukti pembelian pada hari perjalanan dan tiada tanda dibuka.

Penumpang transit perlu menunjukkan barangan ini untuk pemeriksaan di pusat keselamatan. Mereka juga dinasihatkan untuk menyemak peraturan di destinasi akhir dan lapangan terbang transit sebelum membuat pembelian bebas cukai.

Penumpang yang membawa LGA dalam kuantiti lebih besar sama ada dalam bagasi atau sebelum pemeriksaan keselamatan perlu mendaftar masuk barangan tersebut sebagai bagasi kargo (checked baggage).

CAAT juga memberikan kuasa kepada pengendali lapangan terbang untuk melaksanakan langkah keselamatan yang lebih ketat bergantung kepada penilaian risiko masing-masing.

Akhir sekali, semua lapangan terbang diwajibkan untuk memaklumkan peraturan baharu ini dengan jelas kepada penumpang, kru, kakitangan lapangan terbang dan individu yang diberi kuasa, di seluruh terminal termasuk kawasan daftar masuk dan pusat pemeriksaan keselamatan, bagi memastikan semua pihak maklum sebelum memasuki kawasan terhad. -AGENSI

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here